Rabu, 27 March 2019 | 8:01pm
FOTO hiasan.

Ramai ambil mudah kolesterol tinggi, punca serangan jantung

KUALA LUMPUR: Kadar kolesterol tinggi dalam darah, dikenal pasti sebagai punca utama penyakit berkaitan gangguan kesihatan kardiovaskular dengan menyaksikan 13.9 peratus kematian pada 2017.

Angka itu mencatatkan 37 kematian direkodkan setiap hari sepanjang tempoh berkenaan dengan peningkatan 54 peratus berbanding 10 tahun lalu disebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD), terutama serangan jantung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kajian Morbiliti dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2015, mendapati keseluruhan 47.7 peratus atau (9.6 juta), membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas.

Angka itu kata beliau, menunjukkan peningkatan 32.6 peratus berbanding 2011, satu situasi serius dan perlu ditangani semua pihak.

“Kajian NHMS, mendapati kebarangkalian satu nisbah dua orang dewasa menderita pelbagai penyakit berkaitan jantung disebabkan kadar kolesterol tinggi dalam darah.

“Selepas didiagnosis, 38.6 peratus (7.8 juta) individu terbabit mengatakan mereka tidak mengetahui atau mengambil kisah mengenai keadaan berkenaan, sedangkan keadaan itu menyumbang kepada kematian mengejut.

“Situasi ini mencerminkan tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat mengenai risiko penyakit berkaitan kardiovaskular,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Laporan mendapati, gaya hidup ketika ini mencatatkan purata usia mereka diserang penyakit berkaitan jantung iaitu sekitar 58 tahun, berbanding negara jiran. Penduduk Thailand diserang pada usia 68 tahun, Singapura (61), China (63), Amerika Syarikat (66) dan Kanada (68).


MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Rohanis Shukri

Dr Dzulkefly berkata, atas inisiatif kerajaan, pihaknya mewujudkan Peduli Kesihatan (PeKa) bagi menangani masalah NCD di kalangan rakyat berpendapatan rendah (B40).

“Menerusi PeKa B40, rakyat berusia 50 tahun dinasihatkan segera mendaftar dengan skim yang memberikan pelbagai kemudahan. Saringan kesihatan bertujuan mengesan lebih awal dengan melakukan ujian darah, diagnosis, ujian kolesterol, air kencing dan ujian fungsi buah pinggang.

“Kementerian menggalakkan pembabitan pengamal perubatan swasta, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengurangkan peratusan NCD sekali gus melahirkan rakyat yang sihat,” katanya.

Pada majlis berasingan, Dr Dzulkefly mengumumkan pelantikan tujuh pakar luar kementerian, bertujuan memperkemaskan sistem penyampaian kesihatan negara secara sistematik.

Mereka yang dilantik iaitu Mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Abu Bakar Sulaiman sebagai Pengerusi; Setiausaha Agung, Perkongsian, Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, Tan Seri Dr Jemilah Mahmood dan Profesor Ekonomi dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Tan Sri Kamal Mat Salih.

Turut dilantik Dekan Fakulti Perubatan UM, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman; Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Gleneagles serta Pengarah Teknikal Negara, Projek Sistem Kesihatan Malaysia, Harvard School of Public Health, Dr Yap Alex Mathews.

Dr Zulkifli berkata, pelantikan membolehkan tokoh berkenaan berkongsi idea dengan mengetengahkan isu dan penyelesaian berkaitan kesihatan semasa.

“Majlis turut membincangkan penstrukturan kementerian, transformasi perkhidmatan dalam sistem penyampaian, pembangunan modal insan, pembiayaan kesihatan menerusi kerjasama awam dan swasta.

“Perkara lain bakal dibincangkan termasuk penanda aras kesihatan kebangsaan dan promosi perlindungan kesihatan selepas menghadiri Mesyuarat Ketiga Majlis Penasihat Kesihatan, hari ini.

1603 dibaca
Berita Harian X