Khamis, 28 March 2019 | 9:22pm
Timbalan Pengarah Cawangan Penggunaan Ubat Secara Berkualiti, Bahagian Amalan dan Perkembangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Munira Muhammad. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

OKU dilantik sebagai Duta Ubat

PORT DICKSON: Program Duta Kenali Ubat Anda (KUA) akan diperluaskan kepada golongan kurang upaya (OKU), bagi membolehkan maklumat tempat pengambilan ubat secara sistematik dilaksanakan secara menyeluruh.

Timbalan Pengarah Cawangan Penggunaan Ubat Secara Berkualiti, Bahagian Amalan dan Perkembangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Munira Muhammad, bertujuan memastikan golongan itu dilengkapi pengetahuan dan pengurusan penggunaan ubat secara selamat.

Beliau berkata, usaha sedang dijalankan membabitkan penyertaan OKU sebagai KUA supaya pengetahuan mengenai pengambilan ubat secara sistematik disebarkan dalam kalangan mereka juga.

"Sejak KUA diperkenalkan pada 2012, seramai 1186 duta dilatih sehingga 2018 yang terdiri daripada golongan seperti guru, pensyarah, ahli korporat, Ketua kampung dan selebriti dengan 4367 aktiviti sudah dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Bengkel Training of Trainers (TOT) Duta Kenali Ubat Anda Zon Tengah 2019, yang di sini, hari ini. Seramai 80 peserta dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Hospital Kuala Lumpur menerima sijil pelantikan dan kit Duta KUA selepas menamatkan latihan menerusi bengkel berlangsung tiga hari bermula 26 Mac lalu.

Sijil disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Sahidah Said.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan Amalan dan Perkembangan Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Nur Jamiah Mohd Taufek.

Munira berkata, KKM menghargai komitmen duta walaupun program KUA tidak menyediakan sebarang bayaran atau insentif, namun duta yang dilantik masih kekal sehingga ke hari ini selain turut aktif sehingga hari ini.

Selain membantu dalam pengurusan dan pengambilan ubat, duta berperanan menyebarkan maklumat terkini.

"Fokus utama tahun ini memperkasa golongan wanita melalui inisiatif 'empowering Informal Caregiver' memandangkan wanita memainkan peranan penting dalam pengurusan keluarga," katanya.

491 dibaca
Berita Harian X