Sabtu, 30 March 2019 | 10:00am

Mulut busuk kesihatan jantung merosot

SIKAP tidak mengambil berat menjaga kebersihan gigi dan mulut membawa padah kerana kekotoran pada bahagian berkenaan menjejaskan kesihatan jantung.

Gigi, gusi dan mulut yang kotor juga meningkatkan risiko individu mengalami penyakit berkaitan kesihatan kardiovaskular terutama jantung selain diabetes dan alzhaimer.

Kajian Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) mendapati semua penyakit berkenaan berpunca daripada tahap kesihatan gigi dan mulut yang diabaikan.

Secara keseluruhannya 95 peratus penduduk di negara ini masih kurang kesedaran berkaitan pentingnya kebersihan penjagaan mulut, bagi mengelak pelbagai penyakit bahaya.

Presiden MDA, Dr Leong Kei Joe, berkata sepuluh penduduk mengalami masalah gusi dan karang gigi sejak 2010 di negara ini, namun hanya mengetahuinya selepas mengalami sakit dan mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, amalan gaya hidup tidak sihat dengan mengambil makanan tinggi gula turut menyumbang kepada 2.5 juta pesakit diabetes di negara ini dilaporkan tahun lalu turut dikaitkan dengan gangguan gusi.

Pada masa sama juga katanya, dianggarkan 94 peratus golongan dewasa di negara ini menghadapi masalah gusi tanpa mereka disedari berikutan tidak menganggap keadaan gusi berdarah atau bengkak sebagai keadaan tidak normal.

“Berbanding gigi, gusi kurang diberi perhatian dan gejalanya di pandang remeh sehingga mendatangkan banyak kemudaratan terhadap kesihatan. Kebersihan lidah perlu ditekankan kerana mulut adalah tingkap kesihatan.

“Kegagalan mendapatkan rawatan segera bagi setiap satu penyakit itu menyebabkan penyakit lain menyusul.

“Masyarakat perlu sedar penjagaan mulut perlu dilakukan memandangkan kebanyakan penyakit berkait antara satu sama lain,” katanya pada Forum Bulan Kesihatan Mulut 2019 yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Asean Selatan, Amanda Klemm.


Amanda menunjukkan produk terbaru Colgate kepada Kei Joe, sambil diperhatikan bekas presiden MDA, Dr Chow Kai Foo. - NSTP/Owee Ah Chun

Jumpa doktor dua kali setahun

Forum anjuran MDA dan Colgate-Palmolive Malaysia menerusi kempen kesihatan diharap mengubah stigma tidak peduli masyarakat kepada peka bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kesihatan oral.

Dr Leong berkata, berjumpa doktor gigi bukan hanya ketika sakit, setiap kali bertemu pada kekerapan dua kali setahun, pihaknya menekankan panduan penjagaan sempurna selain pilihan makanan yang sesuai.

“Sepanjang tempoh kempen ini, 560 klinik gigi swasta di seluruh negara menjalankan pemeriksaan mulut percuma,” katanya.

Mengulas lanjut, Klemm berkata, program tahunan setiap Mac ini bertemakan Kesihatan Mulut Secara Keseluruhan yang menekankan penjagaan gigi, lidah dan pipi gusi.

Katanya, kempen mencegah adalah lebih baik daripada merawat bertujuan meningkatkan kesedaran penjagaan gigi dan mulut. Inisiatif turut menasihatkan orang ramai mendapatkan pemeriksaan gigi dua kali setahun.

“Sepanjang kempen ini, kami berkongsi maklumat peringkat peruncitan menerusi laman sesawang, Bright Smile Bright Future iaitu program pendidikan Colgate mensasarkan murid. Turut disediakan bimbingan penjagaan mulut, gigi dan gusi selain mengedarkan alat pembersih percuma.

“Pada program ini 7,700 sekolah seluruh negara turut menyertainya, program tahunan yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial dalam meningkatkan kesedaran awam pentingnya gigi yang sihat,” katanya.

Pada majlis itu, Colgate-Palmolive turut melancarkan Colgate Total formula Dual Zinc dalam enam pilihan menentang bakteria.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Norliza Mohamed, walaupun nampak kecil namun kurang peka menjaga kesihatan menyebabkan individu berhadapan gangguan kesihatan lebih serius.

Katanya, sikap sambil lewa terhadap gusi perlu diubah memandangkan tahap kesihatan oral yang rendah berisiko menyebabkan masalah kesihatan lain.

Kajian penyelidikan menunjukkan hubungan antara penyakit gusi dengan serangan jantung, diabetes dan alzhaimer ada kaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Pemeriksaan Kesihatan Gusi 1 Juta Gumbatte 2019, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Besar Southern Lion Sdn Bhd, Carmen Foo.

Sementara itu, jenama penjagaan oral, Systema menganjurkan kempen pemeriksaan kesihatan gusi “Sejuta Gumbatte 2019” bertujuan membantu menambah baik kesihatan oral penduduk di negara ini.

Kempen menawarkan pemeriksaan gigi percuma sebagai motivasi kepada setiap individu bagi mengekalkan 20 batang gigi asal apabila mencapai usia 60 tahun. Pemeriksaan secara dalam talian menerusi laman web gumhealthcheck.com untuk gigi dan gusi sihat sepanjang hayat.


Kaedah betul untuk memberus gigi.

INFO:

• Kaji selidik terbaharu dijalankan Lion Corporation Japan, membabitkan 450 dewasa mendapati 80 peratus responden mengalami gejala gusi sekurang-kurangnya sekali. Hanya satu peratus sedar mereka mengalami masalah disebabkan kurangnya kesedaran.

• Pemeriksaan gigi bukan saja untuk merawat penyakit tetapi mencegah sakit gusi.

• Kaedah penjagaan sempurna dengan memberus gigi, lidah dan gusi, jadikan rutin selain memilih berus gigi yang sesuai.

FAKTA:

• Berus gigi anda sekurang-kurangnya dua kali sehari.

• Patuh temu janji doktor secara berkala dua kali setahun.

• Jangan abaikan tanda awal sakit gusi seperti gusi berdarah, gusi merah dan bengkak.

• Dapatkan bantuan profesional jika mempunyai masalah gusi, jalani rawatan segera

• Gusi yang sihat boleh dicapai melalui penyingkiran plak di kawasan berisiko seperti poket gusi dan garis gusi.

3339 dibaca
Berita Harian X