Rabu, 3 April 2019 | 7:36pm
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubatan HCTM PPUKM, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor (kanan) dan Pakar Nefrologi, Dr Ruslinda Mustafar merasmikan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2019 di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. - Foto Hafiz Sohaimi

Program kesihatan kurang sambutan

Kuala Lumpur: Usaha pelbagai agensi menyalurkan maklumat mengenai risiko penyakit kronik seolah-olah sudah tidak relevan berikutan penganjurannya kurang mendapat sambutan.

Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Unit Nefrologi dan Dialisis, Hospital Canselor, Tunku Muhriz, Pusat Perubatan (HCTM), UKM, Dr Ruslinda Mustafar, berkata senario itu mencerminkan tahap kesihatan masyarakat masih rendah dengan sikap ‘tidak ambil peduli’.

Beliau berkata, meskipun setiap tahun pelbagai pengisian ditawarkan dalam memberi kelainan untuk menarik perhatian pengunjung pada setiap kempen kesihatan, namun peratus kes kehadiran tidak membanggakan.

Lebih menyedihkan katanya, bilangan individu yang dirujuk menghidap penyakit bahaya meningkat setiap tahun. Boleh dikatakan sebahagian besar masyarakat langsung tidak mengetahui mereka berhadapan risiko penyakit bahaya.

“Rata-rata peserta taklimat yang hadir hanyalah pesakit yang berhasrat mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyakit yang mereka alami, tidak bagi individu sihat sebagai langkah pencegahan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2019 yang dianjurkan HCTM UKM, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) HCTM UKM, Prof Dr Abdul Halim Gafor. Hadir sama, Pakar Klinikal Nefrologi, Dr Fong Voon Ken dan Pegawai Dietetik, Jabatan Perkhidmatan Dietetik dan Sajian Makanan, Wan Azlina Wan Ismail.

Penganjuran kali ke-14 atas inisiatif HCTM UKM seiring sambutan dari berkenaan seluruh dunia dengan tema ‘Kidney Health For Everyone Everywhere’.

Sambutan kali ini mendedahkan amalan gaya hidup sihat dengan pelbagai aktiviti seperti zumba, ceramah pendidikan kesihatan, pemeriksaan kesihatan, pameran dan terapi batik.

Menurut Dr Ruslinda, meskipun statistik pesakit meningkat setiap tahun, namun kempen kesedaran terutama kaedah penjagaan buah pinggang tidak pernah berhenti bagi berkongsi memberi pengetahuan serta langkah pencegahan terbaik kepada masyarakat.

“Tidak dinafikan, pendekatan kempen harus berubah mengikut perubahan zaman, malah perkara itu juga sering kali dipertingkatkan untuk menarik masyarakat mendekati dan mengenali penyakit buah pinggang dengan lebih dekat.

“Antara perkara dirancang termasuk menganjurkan lebih banyak kempen kesedaran melalui video seperti

Pengumuman Perkhidmatan Awam (PSA) untuk menerusi media cetak, elektronik serta media sosial,

“Pemerhatian awal mendapati kaedah ini berkesan dan mampu meningkatkan kesedaran umum mengenai pentingnya penjagaan kesihatan bagi mengelak penyakit bahaya,” katanya.

281 dibaca
Berita Harian X