Khamis, 4 April 2019 | 10:51pm

Industri kesihatan halal tawar perkhidmatan patuh syariah

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan patuh syariah merangkumi pelbagai aspek antaranya penggunaan produk yang disahkan bersih dan selamat bagi memenuhi keperluan pesakit Islam berlandaskan tuntutan agama.

Pakar perubatan dan pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Sungai Buloh, Dr Liyana Dhamirah Aminuddin, berkata industri kesihatan di negara ini sudah berlandaskan syariah, kini dalam proses untuk diperkemaskan sepenuhnya.

Beliau berkata, melihat kepada konteks penjagaan kesihatan sedia ada, kini beralih kepada penjagaan kesihatan halal bagi memenuhi permintaan dalam kalangan pesakit Muslim.


Pakar perubatan dan pensyarah di Fakulti Perubatan UiTM, kampus Sungai Buloh, Dr Liyana Dhamirah Aminuddin. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Persepsi pesakit Muslim lazimnya, mempersoalkan status kebersihan ubat-ubatan, prosedur pemindahan darah, suntikan vaksin, makanan tambahan dan pemasangan injap jantung tiruan adakah 100 peratus halal.

Begitu juga perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam kalangan doktor mahupun jururawat, pesakit kini lebih selesa jika mereka dirawat oleh petugas lelaki atau perempuan sahaja.

“Bukan semua ubat-ubatan, vaksin, makanan tambahan dan pemasangan injap jantung tiruan mendapat pengiktirafan sijil halal, terutama produk atau perkhidmatan diimport.

“Ditekankan di sini, penggunaannya dilihat sebagai diharuskan atas sebab khusus iaitu memelihara kesihatan bagi mengelak kesan mudarat yang boleh mengancam nyawa.

“Demi masa depan penjagaan kesihatan berteraskan patuh syariah, kami sentiasa memastikan produk dan penjagaannya 100 peratus bersih selain memperoleh pengiktirafan sijil halal daripada pihak berwajib.

“Paling penting penjagaan kesihatan halal bakal diterapkan secara meluas dengan mengekalkan kualitinya, seperti penjagaan kesihatan sedia ada,” katanya yang bertindak sebagai moderator Persidangan Halal Sedunia (WHC) 2019 Kuala Lumpur, di sini, hari ini.


Antara yang hadir pada Persidangan Halal Sedunia (WHC) 2019 di MITEC, Kuala Lumpur. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Program bertemakan Hala Tuju Industri Kesihatan Halal, WHC 2019 berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa dan Pameran Malaysia (MITEC), anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Acara dua hari bermula semalam, kata Dr Liyana, menyaksikan permintaan pesakit Muslim lelaki lebih selesa menerima rawatan daripada doktor lelaki sahaja begitu juga pesakit wanita memilih pakar sama jantina.

118 dibaca
Berita Harian X