Sabtu, 6 April 2019 | 1:56pm
FATIMAH Abdullah (kanan) melawat gerai pameran selepas merasmikan Kempen Pemeriksaan Kendiri HPV Mengelak Kanser Serviks dan Larian Marathon Wanita di One City Kuching. - Foto Ihsan Pejabat Menteri

Sikap malu penyebab kanser pangkal rahim

KUCHING: Sekurang-kurangnya satu kes disahkan kanser pangkal rahim bagi setiap tiga hari direkodkan di Hospital Umum Sarawak (HUS) tahun lalu, yang kebanyakan kes berpunca sikap malu untuk melakukan pemeriksaan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, dalam tempoh berkenaan, sejumlah 120 kes baharu kanser berkenaan dilaporkan HUS.

“Sejak 2012 hingga 2016, kita mendapati tiada penurunan signifikan kanser serviks dalam kalangan wanita negeri ini berikutan kesedaran untuk melakukan pemeriksaan kendiri yang masih rendah.

“Berbanding di negara maju, kanser serviks tidak berada dalam kelompok 20 penyakit utama dihidapi wanita dari negara maju terbabit, kesan daripada program pemeriksaan yang berkualiti,” katanya Kempen Pemeriksaan Kendiri HPV Mengelak Kanser Serviks dan Larian Marathon Wanita, di sini hari ini.

Bermula 2012, kes kanser serviks membabitkan 154 kes, 2013 (106 kes); 2014 (119 kes), 2015 (110 kes) dan 2016 (109 kes).

Pada majlis berkenaan, Fatimah turut melancarkan kit pemeriksnaan kendiri HPV, ‘SigekKitak-SigekKamek’ untuk diagihkan kepada golongan wanita kurang berkemampuan.

Fatimah ketika mengulas lanjut berkata, selain sikap pemalu melakukan pemeriksaan awal, faktor lain menyumbang kepada kanser ialah kekurangan liputan pemeriksaan dan kekangan melakukan pemeriksaan susulan.

“Cabaran besar kita satu-satu klinik hanya mampu menawarkan khidmat tujuh ‘pap smear’ dalam sebulan, dan pada masa sama terpaksa memberi khidmat kepada 1,500 hingga 2,000 wanita berusia 25 hingga 65 tahun,” katanya.

Beliau berkata, menerusi kit ‘SigekKitak-SigekKamek’ pemeriksaan kendiri tidak lagi mendedahkan identiti wanita yang mempunyai sikap pemalu dengan sasaran 90 kit akan diedarkan secara bulanan membabitkan kawasan penempatan pedalaman.

821 dibaca
Berita Harian X