Ahad, 7 April 2019 | 10:23am
DIAGNOSIS awal penting bagi mengenal pasti penyakit dan kaedah terbaik rawatan sepatutnya. -Foto hiasan

Jangan lewat buat pemeriksaan kesihatan

Kuala Lumpur: Melewat-lewatkan pemeriksaan kesihatan menyebabkan individu yang didiagnosis sesuatu penyakit bakal berdepan dengan risiko lebih teruk sehingga memerlukan rawatan intensif.

Pakar Perunding Kanan dan Pakar Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan, berkata individu sepatutnya memberi perhatian serius dengan setiap perubahan berlaku dalam diri dengan menjalani pemeriksaan segera.

Katanya, diagnosis awal penting bagi mengenal pasti penyakit dan kaedah terbaik rawatan sepatutnya, selain dapat mengurangkan kos perubatan.

“Pesakit perlu peka mengenai program penjagaan kesihatan berterusan untuk diri sendiri dan keluarga dengan memantau tahap kesihatan anak dan suami,” katanya mengulas penjagaan kesihatan bermula dari awal sempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut hari ini.

Hari Kesihatan Sedunia tahun ini bertemakan Perlindungan Kesihatan Sejagat: Setiap Orang, Di Mana Pun; bagi memastikan setiap individu mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.

Sempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut setiap 7 April, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan masyarakat meningkatkan kualiti dan keselamatan perkhidmatan kesihatan secara optimum.

Proses ini bermula pada tahap pertama hubungan dengan sistem kesihatan, individu, keluarga dan masyarakat menerima penjagaan kesihatan menerusi program pencegahan kepada rawatan, pemulihan dan penjagaan paliatif secepat mungkin ke tempat mereka tinggal dan bekerja.

WHO mendefinisikan perlindungan kesihatan sejagat bermaksud semua individu mempunyai akses perkhidmatan kesihatan berkualiti yang mereka perlukan, bila dan di mana mereka memerlukannya tanpa kekangan kewangan.

Sistem kesihatan terbaik dengan kos yang cekap mampu memberikan hasil penjagaan sempurna dan meningkatkan kualitinya.

Mengulas isu berkaitan, Dr Jamiyah berkata, kepentingan penjagaan kesihatan menyeluruh penting termasuk sentiasa membuat pemeriksaan berkala bagi mengelak menghidapi sebarang penyakit pada masa depan.

“Malangnya, ramai yang ramai yang mengambil mudah. Jika sudah mencapai tahap serius seperti kanser, mereka pula perlu melakukan rawatan intensif. Ini pastinya meningkatkan kos perubatan.

“Pada masa sama, pakar dan kakitangan berkaitan perlu memainkan peranan mendidik masyarakat mengenai kaedah terbaik dan menyelaras penjagaan kesihatan serta menyokong keperluan berkaitan,” katanya.

1356 dibaca
Berita Harian X