Ahad, 7 April 2019 | 11:01am

Tabiat salah simpan ubat

Sebilangan individu tidak tahu cara menyimpan ubat yang betul sehingga menyebabkan ia mudah rosak dan kurang berkualiti.

Lazimnya, peti sejuk dan bilik tidur antara tempat paling digemari meletakkan pil (tablet) dan ubat dalam bentuk sirap.

Kebanyakan mereka juga suka menyimpan pil di atas meja makan dalam satu bekas penyimpan atau di dalam almari.

Tidak kurang juga meletakkan botol ubat di tepi sinki berhampiran tingkap sedangkan ubat akan rosak apabila terdedah kepada cahaya atau suhu panas.

Ubat sedut untuk penyakit asma dan jantung juga kerap di simpan di dalam kereta dengan alasan mudah dicapai ketika kecemasan.

Suhu panas di dalam kereta boleh menyebabkan ubat sedut cepat meruap dan rosak dan tidak berkesan apabila digunakan.

Pegawai Farmasi, Pejabat Kesihatan Titiwangsa, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Leow Chuan Ying, berkata ramai salah anggap dengan menyimpan ubat di dalam peti sejuk menambah jangka hayat ubat dan tahan lama sedangkan hakikatnya tidak benar sama sekali.

“Cecair ubat dicampurkan dengan bahan pengawet seperti methyl paraben dan propylparaben untuk mencegah pembiakan bakteria di dalamnya, apabila simpan ubat yang sudah dibuka di dalam peti sejuk, suhu peti sejuk menyebabkan wap air terbentuk di dalam botol ubat melalui proses kondensasi.

“Wap terbentuk ini tidak mengandungi bahan pengawet dan menyebabkan bakteria atau fungi boleh membiak di dalamnya kemudian turun dan bercampur cecair ubat di dalam botol seterusnya merosakkan ubat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ceramah bertajuk ‘Penyimpanan ubat yang betul’ pada Bengkel Training of Trainers (TOT) Duta Kenali Ubat Anda Zon Tengah 2019, di Port Dickson, baru-baru ini.

Katanya, ubat dalam bentuk pil juga tidak boleh diletakkan di dalam peti sejuk kerana boleh menjadi lembap, lembik dan hancur seterusnya mengubah rupa asal ubat berkenaan dan kurang berkesan apabila digunakan.

Ramai menyangka ubat demam yang disimpan dalam peti sejuk tahan lebih lama sebaliknya hanya mempercepatkan pertumbuhan bakteria dan merosakkannya.

Meletakkan ubat di dalam bilik mandi menjejaskan mutu ubat kerana selain isu berkaitan kebersihan, ruang itu juga mempunyai kelembapan tinggi.

Ubat juga sebaiknya tidak dibiarkan di bahagian dapur kerana suhu di situ biasanya agak panas menyebabkan ia mudah rosak, selain mudah dicapai kanak-kanak.

“Bagaimanapun, selain insulin, ubat antibiotik yang sudah dibancuh dan ubat titis mata perlu disimpan di dalam bekas bertutup dan diletakkan di bahagian tengah peti sejuk, pada suhu antara dua hingga lapan darjah celsius.

“Jangan simpan ubat pada bahagian sejuk beku kerana membekukan ubat berkenaan atau bahagian rak pintu peti sejuk kerana suhu agak rendah di kawasan berkenaan,” katanya.

Menyimpan ubat dalam satu kotak boleh menimbulkan reaksi antara ubat berkenaan yang boleh menyebabkan kualiti ubat terganggu.

Ubat juga sangat peka kepada cahaya, justeru simpan di dalam botol gelap atau tidak lut cahaya.

Asingkan ubat yang sudah mengalami perubahan pada bentuk, rupa, warna, bau atau rasa atau kembalikan kepada farmasi untuk dilupuskan oleh syarikat yang dilantik.

INFO: Amalan menyimpan ubat yang betul

1. Bungkusan asal berserta label.

2. Bekas yang sesuai, telus, bertutup dan mudah dilihat.

3. Asingkan ubat untuk dimakan dan kegunaannya.
- Ubat makan: pil, kapsul, sirap.
- Kegunaan luar: krim, salap, ubat sedut

Suhu penyimpanan:
- Peti sejuk (bukan sejuk beku) pada suhu 2-8 darjah celsius.
- Ruang sejuk (bukan peti sejuk) pada suhu 8-15 darjah celsius.
- Suhu bilik pada 15-30 darjah celsius.

371 dibaca
Berita Harian X