Sabtu, 13 April 2019 | 1:20pm
PERUNDING Kosmetik dan Estatik, Dr Hew Yin Keat. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Rawatan laser muka tak semua serasi, elak komplikasi

Individu yang berhasrat menjalani rawatan laser perlu lebih berhati-hati dengan hanya memilih pakar diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan risiko komplikasi kulit.

Ini termasuk memastikan doktor berkelayakan dalam bidang kecantikan atau estatik selain memiliki sijil amalan tahunan, klinik atau pusat penjagaan kesihatan swasta berdaftar.

Perunding Kosmetik dan Estatik, Dr Hew Yin Keat, berkata pengamal perubatan juga perlu ada lesen serta memiliki Surat Pengiktirafan dan Keistimewaan (LCP) yang dikeluarkan Bahagian Amalan Perubatan KKM.

Pengeluaran surat pengiktirafan itu kata beliau, dilakukan menerusi cadangan Jawatankuasa Pengiktirafan dan Keprihatinan Utama Amalan Perubatan Estatik.

Katanya, syarat lebih ketat itu bertujuan memastikan prosedur laser dilakukan individu berkelayakan. Ini kerana rawatan laser menjadi sangat bahaya sekiranya dikendalikan individu tidak diiktiraf.

Pakar lulus ujian saringan

“Orang ramai perlu peka mengenai kepentingan memastikan hanya mereka yang memiliki sijil diiktiraf melakukan prosedur ini dan penguatkuasaan lebih tegas.

“Individu yang bukan berlatar belakangkan perubatan tidak sepatutnya menjalankan rawatan sedemikian. Sebagai contoh di Singapura, sekiranya pelanggan mengalami komplikasi selepas menjalani rawatan atau dilakukan individu selain doktor termasuk jururawat, doktor berkenaan boleh didenda serta digantung lesen mereka,” katanya.

Dr Keat berkata, KKM mempunyai garis panduan iaitu hanya doktor tertentu yang lulus ujian saringan diberikan, layak menjalankan rawatan laser dan estatik.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pengiktirafan dan Keprihatinan Utama Amalan Perubatan Estatik, menjelaskan badan dianggotai kira-kira 200 pakar dermatologi (kulit), doktor perubatan, pakar bedah terutama pakar bedah mata, telinga, hidung dan mulut (ENT) dari seluruh negara.

Peranan jawatankuasa berkenaan katanya adalah memantau setiap doktor yang memohon lesen sebelum menawarkan perkhidmatan laser untuk kulit.

Teliti sejarah kesihatan lampau

“Apabila doktor terlatih menjalankan prosedur rawatan ditambah dengan mesin yang baik daripada syarikat diiktiraf, peluang mendapat hasil yang bagus tinggi manakala risiko dapat dikurangkan.

“Prosedur sebelum menjalani rawatan laser adalah dengan berbincang mengenai rawatan yang betul kerana walaupun laser nampak mudah dikendalikan tetapi sekiranya terlebih intensiti cahaya boleh mendatangkan kesan buruk termasuk kulit menjadi nipis,” katanya.

Sebelum menjalani rawatan laser, Dr Keat berkata, doktor perlu meneliti sejarah perubatan dan ubat-ubat yang dimakan pelanggan selain prosedur kosmetik lain yang pernah mereka jalani.

Doktor terbabit juga katanya, perlu memeriksa kulit dan kawasan yang bakal dirawat bagi menentukan apakah perubahan yang boleh dilakukan, sebagai contoh tona dan ketebalan kulit. Pakar juga perlu membincangkan potensi risiko, tempoh pemulihan dan hasil yang bakal dimiliki.

INFO

*Rawatan laser tidak sesuai untuk mereka yang:

- Mengalami masalah jerawat aktif.

- Mengambil ubat isotretinoin (ubat untuk merawat masalah jerawat yang teruk).

- Mengalami penyakit autoimun atau sistem imun lemah.

- Cenderung mengalami parut

- Kulit gelap

*Ciri-ciri doktor bertauliah menjalankan rawatan laser:

- Berdaftar sepenuhnya dengan Majlis Perubatan Malaysia

- Memiliki Sijil Amalan Tahunan yang masih aktif.

- Pengalaman minimum lebih tiga tahun dalam amalan klinikal.

- Bebas daripada sebarang tindakan disiplin.

- Mengamalkan pemilihan pesakit yang ketat berdasarkan kriteria ditetapkan,

- Berkomunikasi dengan pesakit mengenai risiko, kemungkinan hasil diperoleh dan

mengamalkan Kod Amalan Profesional Majlis Perubatan Malaysia.

- Mengutamakan keselamatan pelanggan

Berita Harian X