Sabtu, 20 April 2019 | 10:00am

Putus cinta punca skizofrenia kronik

Jurutera, yang hanya dikenali sebagai Anina, kerap mengasingkan diri, tidak banyak bercakap dan sentiasa rasa diekori bekas teman lelaki. Kadang kala, dia menjerit secara tiba-tiba di pejabat dan pernah bertindak agresif mencederakan diri sendiri akibat terlalu takut dengan bayangan yang sentiasa mengekori dan mahu mencederakan dirinya.

Sikap aneh Anina lebih kronik berikutan tiada siapa mahu percaya dia nampak bekas teman lelaki yang kini dipenjarakan atas kesalahan memukulnya dua tahun lalu, meskipun berada dalam penjara. Persoalannya, bagaimana dia boleh keluar dan mengekori Anina? Situasi dihidapi Anina itu berkaitan gejala skizofrenia, iaitu sejenis penyakit psikosis kronik.

Penyakit itu boleh dihidapi sesiapa sahaja dan mungkin berpunca daripada faktor genetik atau sekeliling.

Delusi pesakit


KETUA Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Ahmad Hatim Sulaiman. - Foto Amirudin Sahib

Ketua Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Ahmad Hatim Sulaiman, berkata jika pesakit skizofrenia memberitahu mengalami gangguan bisikan dan nampak kelibat seseorang sentiasa mengekori, pesakit tidak menipu.

Katanya, situasi itu adalah delusi yang sememangnya dilihat dan hanya boleh dirasai pesakit. Pesakit bukan melalui khayalan atau mimpi kerana sebagai pesakit skizofrenia, mereka melalui kejadian delusi seolah-olah ia benar berlaku.

“Keadaan ini terjadi apabila otak pesakit mengalami gangguan limbic (sejenis bahan kimia) yang sepatutnya berperanan mengawal emosi dan perasaan seseorang.

“Bahan kimia dalam otak dinamakan Dopamine terlebih dalam otak pesakit juga boleh menyebabkan mereka mengalami halusinasi,” katanya.

Beliau berkata, skizofrenia biasanya dihidapi individu berusia antara 15 hingga 30 tahun dan jarang berlaku kepada mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

“Biasanya pesakit yang mengalami penyakit ini tidak sedar mereka menghidap skizofrenia. Namun, perubahan diri pesakit boleh dilihat oleh orang sekeliling,” katanya.

Pesakit berkelakuan aneh

Beliau berkata, antara gejala awal pesakit akan mengasingkan diri, mengalami kemerosotan dalam pelajaran atau kerjaya, menunjukkan kelakuan aneh seperti berasakan diri diejek atau diperhatikan.

Jika gejala ini berterusan selama enam bulan individu terbabit disarankan berjumpa pakar psikiatri. Kebanyakan kes disebabkan faktor genetik dan berisiko menjadi lebih teruk apabila ditambah faktor persekitaran seperti masalah kewangan dan putus cinta.

“Pesakit yang mempunyai ibu bapa pernah ada sejarah skizofrenia lebih berisiko 10 peratus untuk mendapat penyakit ini, manakala bagi kembar seiras risiko mereka adalah sebanyak 50 peratus,” katanya.

Di negara ini, kes membabitkan penyakit skizofrenia adalah seimbang antara lelaki dan wanita berbanding penyakit kemurungan. Wanita lebih dua kali ganda terdedah kepada kemurungan.

Dr Ahmad Hatim, berkata satu hingga empat orang daripada 10,000 penduduk di negara ini pernah mengalami gangguan skizofrenia. Walaupun pesakit boleh pulih dalam tempoh singkat jika dikesan awal, kebarangkalian untuk mendapat kembali penyakit itu tinggi sekiranya mengabaikan keperluan mengambil ubat dan gagal mematuhi jadual rawatan susulan.

Beliau berkata, hanya rawatan dan pengambilan ubat mengikut preskripsi dan berterusan menjamin keadaan pesakit untuk menjalani kehidupan normal tanpa menghidap kembali skizofrenia.

“Kini ada ubat dan rawatan lebih baik ditawarkan kepada pesakit. Ubat seperti cecair yang boleh dimasukkan dalam makanan dan minuman membantu pesakit yang tidak mahu mengambil ubat, menjalankan rawatan dengan konsisten.

“Malah, ubat antipsikotik dalam bentuk suntikan yang diambil sebulan sekali membantu memudahkan tugasan penjaga untuk memastikan pesakit mengambil ubat secara berterusan,” katanya.

Rawatan awal membantu

Beliau berkata, individu yang berdepan masalah ini jangan malu kerana rawatan awal menyembuhkan pesakit dan memberi peluang golongan ini hidup dalam harmoni.

“Salah tanggapan bahawa penyakit ini berpunca daripada syaitan dan jin juga perlu dibuang jauh. Penyakit ini boleh pulih dengan syarat perlu melalui rawatan dan memberi komitmen kepada rawatan disaran pakar. Kaunseling, rawatan psikologi sosial, terapi emosi, pemulihan terapi pekerjaan banyak membantu memulihkan pesakit ini,” katanya.

Beliau berkata, melambatkan rawatan atau enggan dirawat dibimbangi lebih memudaratkan keadaan pesakit serta berisiko menyebabkan pesakit bertindak di luar batasan seperti mahu mencederakan diri sendiri apabila rasa terancam oleh delusinya sendiri.

Info

Tanda utama pada peringkat awal

- Gangguan tidur.

- Hilang selera makan.

- Kelakuan luar biasa.

- Perasaan tidak sesuai dengan orang lain.

- Bicara yang sukar difahami.

- Perasaan yang bukan realiti.

Berita Harian X