Selasa, 23 April 2019 | 4:37pm
Elak gangguan kesihatan pernafasan lebih serius. - Foto hiasan

Dengkur perlu rawatan

TABIAT berdengkur ketika tidur sering dikaitkan dengan gangguan sistem pernafasan, turut mengganggu kualiti rehat orang lain terutama yang berada di sekeliling mereka.

Bunyi itu secara klinikal disebabkan berlakunya kesan penyempitan pada saluran pernafasan ketika tidur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA).

Ramai beranggapan dengkur fenomena biasa dengan alasan individu berkenaan kurang rehat, posisi baring tidak selesa selain dikaitkan dengan bentuk fizikal yang besar.

Pengarah Klinikal Kegagalan Jantung dan Transplan, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi, berkata ramai berdengkur tetapi tidak semestinya individu berkenaan menghadapi masalah berkaitan kardiovaskular.

Katanya, seseorang akan mengalami sistem pernafasan berhenti ketika tidur disebabkan saluran pernafasan terhalang di samping kerap tercekik ketika lena.

“OSA berlaku pada anak tekak, lidah atau bahagian otot dalam rongga pernafasan yang menutup saluran itu ketika tengkuk sedang berkeadaan rehat.

“Hal ini membuatkan oksigen tidak mencukupi sementara karbon pula tidak dapat dikeluarkan dari badan. Kesannya degupan rentak jantung tidak normal dan gangguan pada paru-paru,” katanya kepada BH.


Pengarah Klinikal Kegagalan Jantung dan Transplan, IJN, Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi. - NSTP/Rohanis Shukri

Dr Azmee berkata, hanya 10 peratus yang tidur berdengkur mengalami OSA dan memerlukan pesakit memeriksa tahap kesihatan kerana masalah itu boleh menjadi lebih buruk bagi jangka masa panjang.

Beliau berkata, sepanjang waktu tidur individu berkenaan mengalami nafas terhenti pada kekerapan antara 10 saat hingga satu minit dengan kekerapan empat hingga lima kali semalaman.

OSA menjejaskan kualiti tidur penghidapnya sehingga tidak cukup rehat dan kurang segar, terdedah pada pelbagai masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular, strok dan diabetes serta tertidur ketika memandu.

“Kebiasaan pesakit menyedari masalah ini apabila pernafasan terhenti ketika dalam keadaan terjaga dan bukannya semasa tidur nyenyak hingga tidak sedar berdengkur.

“Disebabkan itu mereka mengalami migrain, pening dan tertidur ketika memandu atau petanda lain mudah tertidur pada siang hari kerana kepenatan disebabkan tidak cukup tidur pada waktu lazim,” katanya.

Sleep apnea juga disebabkan obesiti atau kegemukan berikutan banyak lemak pada leher, tengkuk yang pendek hingga menutup saluran pernafasan biasa.

Katanya, sebahagian pesakit itu adalah mereka yang obes, selain kanak-kanak, remaja dan dan paling ramai mengalami gejala itu juga dalam kalangan lelaki berusia 30 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, lazimnya masalah berdengkur dirujuk kepada pakar telinga, hidung dan tekak untuk menjalani pemeriksaan lidah, tonsil dan dalam keadaan tertentu individu disarankan membuat pembedahan.

“Masalah ini sepatutnya dicegah awal kerana gangguan tidur meningkatkan risiko penyakit paru-paru kronik “hipertensi pulmonari”, tekanan darah tinggi dalam salur darah arteri pulmonari memberi kesan kepada fungsi paru-paru dan bahagian kanan jantung,” katanya.

Beliau menjelaskan, OSA diketahui menyumbang kepada pembentukan penyakit kardiovaskular dan hipertensi pulmonari berikutan gangguan tidur meningkatkan risiko darah tinggi, jantung koronari, strok dan masalah degupan jantung tidak sekata (arrhythmia).

"Hipertensi pulmonari menyebabkan gangguan kesihatan yang serius kerana boleh merosakkan ventrikel kanan jantung. Salur darah arteri pulmonari yang sempit mengakibatkan ventrikel kanan jantung terpaksa mengepam lebih kuat dan keadaan berterusan menyebabkan jantung menjadi lemah.

"Antara simptom hipertensi pulmonari iaitu sesak nafas, cepat penat, pening, sakit dada, jantung berdegup cepat, bengkak pada bahagian kaki seperti buku lali atau jari kaki dan perut," katanya.

Justeru, pesakit boleh dipulihkan dengan penggunaan alat tekanan saluran pernafasan dikenali 'Continuous Positive Airway Pressure' (CPAP) berkesan merawat fungsi kardiak.

“CPAP membuka saluran pernafasan tersumbat dan memudahkan bernafas serta menghilangkan dengkuran, pesakit mendapat kualiti tidur dan rawatan kurangkan tekanan salur darah arteri pulmonari," katanya.

Kemudahan Makmal Tidur di IJN memberi peluang pesakit diuji secara klinikal selama enam hingga lapan jam bagi menilai corak tidur dengan memantau tekanan darah, nadi, tahap oksigen dan gaya rentak pernafasan.

“Prosedur ini bertujuan mengdiagnosis dan rawatan terbaik mengembalikan amalan tidur berkualiti,” katanya.


Makmal Tidur yang terdapat di IJN. - NSTP/Rohanis Shukri

Langkah mencegah dengkur

• Kawal berat badan terutama bagi mereka yang sudah berada pada tahap berat badan berlebihan

• Elak pengambilan alkohol atau ubat yang memberi kesan mengantuk sebelum tidur

• Pilih sisi tidur secara mengiring

• Amal jadual tidur tetap setiap hari

• Mendapatkan rawatan hidung tersumbat atau ruang kerongkong yang sempit


Pilih sisi tidur secara mengiring. - Foto hiasan

Berita Harian X