Rabu, 24 April 2019 | 10:55am

Vaksin kekang jangkitan influenza

Malaysia yang mengalami cuaca hujan dan panas sepanjang tahun memudahkan virus influenza merebak berbanding negara empat musim yang secara semula jadinya menular hanya pada musim sejuk.

Perunding Paediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, berkata menyedari risiko tinggi penularan itu, ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap kesihatan anak dengan memberi vaksin tahunan bagi mengelak dijangkiti.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, golongan berisiko mendapat virus itu adalah dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun, warga emas, wanita mengandung dan individu berpenyakit kronik berkaitan jantung, paru-paru, diabetes dan kanser.

“Oleh itu, bayi berusia enam bulan dan kanak-kanak berusia lima tahun amat digalakkan mengambil vaksin. Influenza lebih berbahaya berbanding selesema, terutama jika kanak-kanak yang dijangkiti mengalami masalah kesihatan berkaitan sistem pernafasan.

“Bagi golongan dewasa yang sihat pengambilan vaksin influenza berupaya melindungi mereka daripada penularan virus terutama jika berlaku wabak,” katanya kepada BH.


PERUNDING Paediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar.

Disebar menerusi mulut, hidung

Influenza boleh dijangkiti melalui titisan air yang tersebar melalui mulut dan hidung. Orang ramai yang berada di sekitarnya mudah mendapat virus yang disebarkan apabila seseorang batuk atau bersin.

Dr Mohammad Iqbal berkata, virus juga mudah merebak melalui tangan tercemar apabila individu yang sudah dijangkiti bersentuhan dengan orang lain.

Influenza juga berbeza berbanding dengan selesema biasa, malah dalam kebanyakan kes penyakit boleh menjadi lebih teruk.

Simptom influenza dikesan apabila seseorang demam tinggi (38 Celcius), lesu melampau, batuk, sakit tekak dan otot, selain sakit perut, sakit dada dan cirit-birit.

“Jangkitan merebak dengan pantas kepada penyakit berkaitan dengan pernafasan. Oleh itu, kumpulan berisiko terutama kanak-kanak mengalami asma, warga emas berpenyakit kronik dan ibu hamil seharusnya lebih berhati-hati.

“Saya menyarankan ibu bapa memberikan suntikan itu kepada anak mereka bagi mengelak jangkitan,” katanya menegaskan vaksin influenza itu boleh didapati di semua klinik dan hospital swasta.

INFO

* WHO melaporkan kira-kira tiga hingga lima juta kes sakit teruk kerana jangkitan influenza, dianggarkan 250,000 hingga 500,000 kes membabitkan kematian.

* Di negara perindustrian, kes kematian berkaitan influenza dikaitkan golongan dewasa berusia 65 tahun ke atas.

* Kajian menunjukkan kira-kira 99 peratus kanak-kanak meninggal dunia akibat influenza disebabkan jangkitan saluran pernafasan.

Berita Harian X