Selasa, 21 Mei 2019 | 11:21am
Penyakit saluran gastro-usus.

Jaga sistem pencernaan pada bulan puasa

KUALA LUMPUR: Ramadan bukan saja mengajar menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi pada masa sama, ia membantu merehat serta memulihkan sistem pencernaan kita pada siang hari.

Oleh itu penting untuk menjaga kesihatan sistem pencernaan sepanjang Ramadan kerana apabila bermasalah, ia akan mengganggu kelancaran puasa dan aktiviti harian kita.

Lazimnya, proses pencernaan yang berlaku bertujuan menyuburkan sel untuk memastikan tubuh badan bertenaga dan proses itu terjadi di dalam saluran gastrointestinal dengan pelbagai fungsi.

Pakar Gastroenterologi PPUKM dan UKM Specialist Centre, Profesor Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata namun setiap orang juga perlu sedar bahawa terdapat banyak gangguan pencernaan yang boleh berlaku dan pesakit akan mengalami gejala seperti seperti najis berdarah, sakit perut yang teruk, sembelit, cirit-birit dan hilang berat badan tanpa disedari.


Pakar Gastroenterologi PPUKM dan UKM Specialist Centre, Profesor Dr Raja Affendi Raja Ali. - Foto NSTP

Katanya, penjagaan saluran gastrointestinal yang betul perlulah melalui pengambilan diet makanan sihat iaitu suku nasi, suku lauk dan setengah pula ialah sayuran atau buahan.

Minum 10 gelas sehari

“Ia perlu diseimbangkan dengan senaman, sekurangnya tiga kali seminggu supaya dapat melatih organ dan mencegah radang usus, malah kombinasi minum air, sebanyak 10 gelas sehari dapat membentuk sistem pencernaan yang lebih sihat.

“Selain itu tidak digalakkan makan malam iaitu dua hingga tiga jam sebelum tidur memandangkan ketika tidur, badan kita berehat tetapi perut masih terus bekerja dan ini boleh menyebabkan asid tambahan terhasil, yang boleh memberi kesan kepada sistem penghadaman serta pencernaan dan seterusnya pesakit akan mengalami gejala seperti refluks dan pedih hulu hati atau senak perut,” katanya.

Dr Raja Affendi berkata, tiada definisi saintifik untuk menjelaskan usus yang sihat tetapi ia dapat digambarkan apabila seseorang itu tidak mempunyai gejala simptom seperti sembelit, cirit-birit, sakit perut, perut kembung dan sebagainya.

Katanya, simptom penyakit gastrointestinal yang biasa seperti rasa perut tidak selesa, loya, muntah, sukar untuk menelan, cirit-birit serta sembelit kronik hendaklah diambil dengan serius.

“Justeru, pemeriksaan perlu dilakukan dan jika ada simptom saluran atas gastrointestinal, pemeriksaan selanjutnya akan dilakukan seperti ujian darah dan gastroskopi (memasuki tiub yang mempunyai kamera ke dalam mulut, esophagus, perut dan sebahagian usus kecil) tetapi jika simptom lebih menjurus kepada saluran bawah gastrointestinal manakala ujian kolonoskopi (memasuki tiub yang mempunyai kamera ke dalam rektum, usus besar dan sebahagia usus kecil) perlu dilakukan.

“Jika ujian dilakukan menunjukkan, saluran atas atau bawah gastrointestinal sistem itu normal, pemeriksaan selanjutnya memerlukan versi video kapsul endoskopi, imbasan MRI usus kecil serta kamera endoskopi yang lebih panjang untuk memeriksa usus kecil, panjangnya hampir lapan meter perlu dilakukan,” katanya.

Pesakit meningkat

Beliau berkata, setakat ini kira-kira ada 40 hingga 50 pesakit datang setiap minggu dengan pelbagai masalah penyakit saluran gastrointestinal untuk mendapatkan rawatan.


Diet makanan sihat dan senaman adalah antara penjagaan perut yang betul.

“Penyakit saluran pencernaan semakin meningkat terutamanya barah usus besar atau dikenali kanser kolorektal iaitu kanser nombor satu yang menyerang lelaki di negara ini.

“Banyak faktor boleh menyerang barah kolorektal seperti peningkatan usia, sejarah kanser kolorektal di dalam keluarga, merokok, menghidap penyakit radang usus seperti penyakit Crohns dan ulseratif colitis, kurang pengambilan sayuran dan buahan dan kurang memakan serat yang tinggi.

“Namun, kira-kira 85 peratus pesakit barah kolon atau kanser kolorektal ini dikenali ‘sporadic’ iaitu berlaku tanpa disedari dan tidak membabitkan keluarga atau gen,” katanya.

Sporadic kanser kolorektal ini bermula dengan terjadinya ‘polyp’ iaitu ketumbuhan pada dinding usus yang mana ia boleh bertukar menjadi barah dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Mereka yang mempunyai risiko kanser kolorektal disarankan untuk melakukan ujian saringan dan jika ‘polyp’ itu dikesan, ia boleh dibuang menerusi prosedur kolonoskopi.

“Di bulan Ramadan yang mulia ini, seeloknya lebihkan meminum air kosong atau jus dan memakan makanan yang berkhasiat dan sihat tanpa memberi gangguan kepada sistem gastrointestinal kita.

“Elakkan juga makanan berasidik, merokok, makanan diawet, pedas dan beralkohol, tetapi dalam masa sama pastikan tidur mencukupi untuk elakkan tekanan pada perut kita,” katanya.


UKM Specialist Centre menyediakan bilik wad yang selesa untuk pesakit.

Di Pusat Pakar Kecemerlangan Gastroinstestinal UKM Specialist Centre yang adalah hak milik penuh UKM Kesihatan Sdn Bhd menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan perut dan usus. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 0391749222 ext. 100 atau 0129145806 atau e-mel enquiries@ukmsc.com.my.

2978 dibaca
Berita Harian X