Khamis, 20 Jun 2019 | 7:00pm
Majlis menandatangani memorandum antara Dekan Fakulti Perubatan UKM. Prof. Dr. Raja Affendi Raja Ali (dua dari kiri) dengan Pengerusi Meluha Life Sciences, Datuk Dr. Abdul Jalil Jidon (dua dari kanan) dan hadir sama Timbalan Dekan, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh (kiri sekali) dan Pengarah Meluha Life Sciences, Kartihik Chandran (kanan sekali) di Advanced Surgical Skill Centre, HUKM. - Foto Amirudin Sahib

HUKM terajui rawatan sel stem serantau

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat sejarah apabila menjadi universiti pertama di rantau ini membangunkan produk terapeutik berasaskan sel stem mesenkima alogenik daripada tali pusat bayi.

Sel stem yang dinamakan Chondrogen itu adalah usaha sama universiti awam dengan swasta bertujuan merawat pesakit osteoarthritis lutut, sekali gus menyumbang kepada kemajuan bidang perubatan di negara ini.

Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata kejayaan dihasilkan selepas sepasukan pakar Ortopedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), UKM Kuala Lumpur dan Meluha Life Science Sdn Bhd (MLS) menjayakan penyelidikan klinikal translasional sejak Januari lalu.

“Pasukan pakar diketuai Ketua Unit Arthoskopi dan Kecederaan Sukan UKM, Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff menggunakan sel stem Wharton’s jelly daripada tali pusat bagi merawat kecederaan rawan lutut 10 pesakit Osteoarthritis lutut.

“Pencapaian ini bertepatan hala tuju UKM pada standard tinggi serta kawalan kualiti mengikut piawaian antarabangsa dalam menghasilkan sel stem bagi tujuan komersial sepenuhnya seawal 2021,” katanya.

Beliau mewakili Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara UKM dengan MLS di sini, hari ini.


Doktor-Doktor Pakar beramah mesra dengan bekas-bekas pesakit lutut ketika majlis menandatangani memorandum antara UKM dengan Meluha Life Sciences di Advanced Surgical Skill Centre, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM. - Foto Amirudin Sahib

Hadir sama Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan) Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh; Pengerusi MLS, Datuk Dr Abdul Jalil Jidon; Pengarah Urusan MLS, Karthik Chandran dan Dr Badrul Akmal Hisham. Chondrogen sudah pun didaftar menerusi Agensi Pengawalan Famaseutikal Kebangsaan (NPRA).

Sementara itu Dr Badrul Akmal Hisham, berkata 10 pesakit Osteoarthritis disuntik Chondrogen pada lutut melalui bius setempat tanpa perlu menjalani pembedahan arthoskopi atau pengambilan darah atau sum-sum tulang pelvis.

“Masa kritikal 72 jam (tiga hari) menunjukkan tiada kesan sampingan dialami pesakit, malah mereka kini boleh menikmati kualiti hidup lebih baik berbanding sebelum ini.

“Untuk pengetahuan, hasil penelitian awal selama enam hingga 12 minggu sudah pun dilaporkan kepada Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika UKM bagi menunjukkan kesan positif yang signifikan tanpa kesan sampingan,” katanya.

186 dibaca
Berita Harian X