Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:00am
INFOGrafik BH

Nafas berbau disebabkan masalah usus

Sekiranya mulut masih berbau, walaupun sudah memberus gigi dan menggunakan cecair pembersih mulut, anda dikhuatiri menghidap penyakit gastro-usus.

Ini kerana berlakunya asid refluks di mana asid sepatutnya berada di dalam perut naik ke saluran makanan (esofagus) hingga membuatkan pedih hulu hati, seterusnya ke tekak dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan apabila sendawa.

Simptom lain pesakit yang menghidapi asid refluks ialah seperti terasa asid dalam mulut, sakit tekak yang panas (seperti terbakar), batuk berterusan disebabkan oleh asid yang mengganggu paru-paru.

Perunding Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Shanthi Palaniappan, berkata selain itu kehadiran bakteria di dalam perut dikenali sebagai Helicobacter pylori (H pylori) juga boleh menyebabkan penyakit berkenaan.

“Bakteria ini merosakkan lapisan mukus yang melindungi perut dan duodenum. Pendedahan jangka panjang kepada jus berasid akhirnya boleh mengakibatkan gastritis dan ulser.

“H pylori boleh tinggal lama dan menyebabkan seseorang akan mengalami sakit perut. Kadang kala H pylori ini tiada simptom, namun kehadirannya boleh menyebabkan mulut berbau dan perut kembung,” katanya kepada BH.


- Gambar hiasan

Beliau berkata, walaupun bakteria ini boleh menyebabkan banyak masalah kepada manusia namun banyak pesakit tidak berapa tahu tentang bakteria ini.

“Jika tidak dikawal bakteria ini boleh menyebabkan gastrik, ulser dalam perut malah kanser perut , dan dikenal pasti satu daripada punca mulut berbau. Makanan juga boleh menyebabkan mulut berbauk seperti bawang putih dan bawang merah,” katanya.

Menurut Dr Shanthi, mulut berbau juga berpunca daripada karang gigi, masalah gusi, sakit tonsil dan sinus pada hidung.

“Amalan menghisap rokok juga boleh mengakibatkan mulut berbau kerana tembakau boleh menyebabkan mulut kering (air tidak cukup),” katanya.

Katanya, cara mendiagnosis asid refluks ialah melakukan endoskopi dengan memasukkan kamera menerusi mulut terus ke perut.

“Ketika boleh nampak asid refluks dan mengambil sampel untuk diuji. Kemudian diberi ubat untuk mengawalnya. Ujian biopsy juga dibuat ketika endoskopi untuk megenal pasti kehadiran Helicobacter pylori.

“Selain dari ujian biopsy, Helicobacter pylori boleh juga di diagnosa dengan ujian darh antibodi dan ujian urea breath test,” katanya.

Menurut Dr Shanthi, jangkitan H pylori mudah dirawat menggunakan dua atau lebih jenis ubat antibiotik bagi mencegahnya.

“Begitu juga ubat penahan asid akan diberikan bagi memulihkan lapisan perut. Ketiga-tiga ubat perlu diambil selama tujuh hingga 14 hari bergantung tahap keberkesanannya,” katanya.

INFO: Hpylori menyebabkan 80 peratus ulser perut, manakala 90 peratus ulser duodenum

  • Asid perut mempunyai pH yang hampir sama dengan asid bateri.
  • Asid perut yang terkena esofagus akan naik semula ke mulut, ia akan menghakis saluran ini dan menyebabkan kesakitan.
  • 1230 dibaca
    Berita Harian X