Sabtu, 27 Julai 2019 | 10:00am
AVOKADO atau nama saintifiknya persea americana. - Foto Amirudin Sahib

Avokado, kekal berat badan ideal

RAMAI menyukai sajian berasaskan sayur-sayuran dan buah-buahan mentah kerana percaya pilihan sajian sedemikian memberi pelbagai khasiat kesihatan.

Golongan selebriti, jurulatih kecergasan, kumpulan ‘eat clean’ kini memilih kategori makanan ‘superfood’ dalam diet harian, sekali gus memperlihatkan sajian daripada sumber segar dalam menu diet harian.

Avokado atau nama saintifiknya persea americana menjadi pilihan diet premium bagi kebanyakan individu berikutan buah-buahan itu sedia sebagai smoothie, selain diolah dalam pasta, jem roti dan perasa minuman.

Buahan berbentuk bujur dengan kulit berwarna hijau berkilat menandakan belum masak, tetapi keadaan sebaliknya selepas beberapa hari atau dalam tempoh minggu, kulit berubah coklat atau kehitaman, barulah boleh dimakan atau isinya berubah lembut.

Bagaimanapun buah ini kurang digemari kerana rasa tawar, tetapi tidak dinafikan khasiatnya banyak, kaya dengan lemak baik berikutan mempunyai lemak tidak tepu.

Hindari risiko diabetes

Pengambilan dalam diet harian mengurangkan risiko diabetes tahap dua, selain berupaya menyerap lemak larut, menjaga kesihatan jantung serta mengekalkan kecergasan.

Pakar pemakanan dan penasihat kesihatan, Alexandra Prabaharan, berkata avokado bukan saja mempunyai cita rasa unggul tetapi teknik penanaman yang selamat serta berkualiti tinggi.

“Misalnya avokado dari Australia ini ditanamkan di ladang besar di Barat dan Selatan Australia, dengan kualiti premium dieksport ke seluruh dunia termasuk pasaran luas di negara ini.


PAKAR pemakanan dan penasihat kesihatan, Alexandra Prabaharan. - Foto Amirdudin Sahib

“Rasa enak semula jadi mempunyai kombinasi unik vitamin dan mineral, meningkatkan sistem imun badan. Membekalkan tenaga, merangsang pertumbuhan otak, baik untuk kesihatan tulang serta memberikan emosi positif,” katanya.

Beliau turut berkongsi tiga resipi mudah iaitu mousse coklat avokado, telur rebus dengan avokado dan avokado smoothie pisang sempena kempen enak dan berkhasiat Taste Australia Avocado di Jaya Grocer di Starling Mall, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kempen dimeriahkan dengan kehadiran Pesuruhjaya Perdagangan dan Pelaburan Austrade, Caitlin Noble dan Ketua Pusat Pengedaran Segar Jaya Grocer, Marc Francois.


AVOKADO smoothie pisang. - Foto Amirudin Sahib

Kebaikan avokado

1. Mengawal tekanan darah

Kajian sekumpulan penyelidik di Amerika Syarikat mendapati, avokado sebagai diet harian mengawal tekanan darah sekali gus mengelak masalah jantung, strok dan buah pinggang.

Avokado memiliki kadar potasium yang tinggi dengan setiap 100 gram sajian mengandungi empat peratus lebih potasium berbanding pisang yang popular sebagai buah penuh nutrisi.

2. Fungsi mata

Avokado memiliki kadar antioksida yang sangat tinggi, kaya nutrisi seperti lutein dan zeaxantin, penting untuk merangsang kesihatan mata.

Pakar di Britain menyarankan penduduknya mengamalkan sekurang-kurangnya tiga hirisan avokado dalam makanan ruji kerana kandungan antioksida di dalamnya mengurangkan risiko katarak mata dan degenerasi makula, disebabkan faktor usia.

3. Kekal berat badan ideal

Walaupun sebiji avokado mengandungi kira-kira 30 gram lemak, tidak menghalang buah ini sebagai rejim menguruskan badan.

Ini kerana lemak yang terkandung di dalamnya ialah asid lemak tak tepu mono yang membawa kebaikan kepada kesihatan.

Menikmati jus avokado dicampur susu, membantu tubuh berasa lebih kenyang tanpa meningkatkan kadar kolesterol dalam darah.

4. Kulit cantik

Selain kesihatan, avokado juga baik untuk rawatan kulit. Kandungan vitamin E dan C dalam avokado juga berupaya menyuburkan kulit sekali gus kelihatan segar dan bersinar.

Khasiat itu menjadikan minyaknya sebagai ramuan utama untuk produk kosmetik pilihan.

327 dibaca
Berita Harian X