Sabtu, 27 Julai 2019 | 11:00am
JENIS cacing Ancylostoma.

Cacing ganggu sistem intelektual anak

BERJALAN di tepi pantai dengan berkaki ayam mungkin boleh menjadi terapi menenangkan tetapi awas kerana kaki anda mungkin dimasuki cacing kait.

Baru-baru ini tular menerusi media sosial mengenai seorang wanita mendapat jangkitan cacing berkenaan ketika melancong di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Cacing berkenaan menembusi kulit di bawah kaki dan boleh dirasai bergerak selain kelihatan jelas pada permukaan dalam lapisan kulit seakan urat timbul.

Pensyarah Kanan, Makmal Parasitologi, Jabatan Patologi & Mikrobiologi Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr Nur Mahiza Md Isa, berkata jangkitan cacing kait boleh menyebabkan gangguan pembentukan fizikal, intelektual kanak-kanak dan pembangunan ekonomi setempat.

Beliau berkata, majoriti individu yang terkena jangkitan cacing kait di kawasan yang endemik akibat berkaki ayam

atau memakai kasut terbuka di kawasan berkenaan.

“Kebanyakan yang terkena jangkitan cacing kait ini tidak menunjukkan gejala dan biasanya diagnosis melalui pemeriksaan najis,” katanya.

Katanya, gejala jangkitan cacing kait bergantung kepada jenis cacing kait. Terdapat tiga jenis simptom klinikal dikaitkan iaitu penyakit cacing kait klasik (classic hookworm disease), larva migrans kutis (cutaneous larva migrans) dan enteritis eosinofilik (eosinophilic enteritis).

Kesan gatal ketara

Kesan awal gangguan kata beliau, boleh dilihat pada minggu pertama dan kedua selepas jangkitan cacing menyebabkan radang setempat, dinamakan ‘gatal tanah’

“Gatal tanah berkait dengan penembusan kulit oleh larva cacing, kesannya bahagian kulit yang ditembusi menjadi tersangat gatal, merah, melecur, biasanya pada bahagian kaki dan tangan. Kesan serius atau gejala bergantung kepada bilangan larva yang menjangkiti.

“Jangkitan sederhana dan berat akibat cacing kait klasik menyebabkan kekurangan darah yang boleh membawa kepada kesan najis berdarah atau melena.

“Apabila simpanan zat besi kehabisan dalam badan, pesakit akan mengalami anemia kesannya mereka mudah pening, edema atau bengkak dan susah bernafas,” katanya.

PENSYARAH Kanan, Makmal Parasitologi, Jabatan Patologi & Mikrobiologi Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr Nur Mahiza Md Isa.

Bagi cacing kait penyebab larva migrans kutis, pemeriksaan boleh dibuat dengan penemuan tompok merah, saluran yang timbul pada kulit yang gatal.

Kebiasaannya berlaku pada tapak kaki individu selepas pulang dari melancong ke kawasan tropika dan menghabiskan banyak masa di pantai. Ada juga kes keadaan berlaku telur dan larva mungkin hadir dalam sampel najis.

Jangkitan cacing kait boleh dirawat dalam tempoh satu hingga tiga hari, menggunakan ubat antehelmintik seperti albendazola dan mebendazola manakala zat besi akan diberikan kepada pesakit yang mempunyai anemia.

Masuk pada tapak kaki

Penyakit cacing kait berpunca daripada cacing nematod Necator dan Ancylostoma terbahagi kepada jenis A.brazilense, A.caninum dan A.ceylanicum.

Ini dikelaskan sebagai parasit zoonotik yang berjangkit melalui haiwan kepada manusia apabila

telur cacing keluar bersama najis haiwan yang dijangkiti.

Dalam cuaca panas, lembap serta terlindung, telur cacing kait akan menetas dalam masa 24 hingga 48 jam.

Larva yang baru atau rabditiform akan berkembang dalam najis atau tanah dan dalam jangkamasa lebih kurang lima sehingga sepuluh hari, larva ini bertukar sebanyak dua kali, menjadi larva filiform peringkat ketiga yang berjangkit.

CACING kait menembusi kulit di tapak kaki.

Jangkitan pada manusia berlaku apabila larva berkenaan masuk ke tubuh seseorang dengan cara penembusan kulit terutama pada telapak kaki.

Bagaimanapun larva A. brazilense dan A.caninum ini tidak dapat berkembang dalam perumah manusia dan akan merayau pada lapisan luar kulit atau epidermis, kadang-kadang beberapa sentimeter sehari.

Pada kucing dan anjing, larva infektif ini akan menembusi haiwan tadi dan akan dibawa ke salur darah untuk dibawa ke jantung dan paru-paru. Seterusnya menembusi alveoli pulmonari, naik ke pohon bronkial, ke farinks (salur tekak, mulut, hidung dan salur makanan) dan salur usus.

Larva akan mencari usus kecil, di mana mereka menjadi dewasa yang melekat pada dinding usus.

Dilaporkan sebanyak 472 juta orang di seluruh dunia mengalami jangkitan cacing kait tetapi kebanyakannya tidak menunjukkan tanda-tanda dengan hanya 10 peratus saja yang mengalami gejala anemia atau kekurangan darah.

INFO:

*Faktor Risiko:

-Kurangnya kebersihan, air bersih

-Populasi berisiko termasuk pelancong antarabangsa, pelarian politik dan imigran.

-Persekitaran dengan suhu 20-30°C, panas, lembap dan kawasan tanah yang terlindung daripada cahaya

matahari.

*Pencegahan:

-Memakai kasut terutama jika ke pantai

-Mengelakkan sentuhan kulit dengan tanah atau pasir.

*Haiwan peliharaan (anjing dan kucing):

- Beri ubat cacing berkala.

- Buang segera najis haiwan.

*Bentuk cacing Ancylostoma:

- Berbentuk silinder, tidak bersegmen.

- Kapsul mulutnya besar

- Mempunyai beberapa pasang gigi yang tajam dan tumpul (bergantung kepada spesis) bagi membantu ia

melekat pada usus.

- Cacing dewasa betina menghasilkan telur lebih kurang 10,000 telur sehari (bergantung kepada spesis).

Berita Harian X