Isnin, 29 Julai 2019 | 1:18pm
PUAN Sri Maniseh Adam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Kekal bergaya walaupun disahkan kanser

Pada usia 68 tahun, wanita ini disahkan pakar menghidap kanser payudara tahap 2B. Tidak pernah menyangka akan menghidap penyakit yang juga musuh nombor satu wanita dalam hidupnya.

Bagaimanapun Puan Sri Maniseh Adam, 76, tidak menjadikan kesakitan itu sebagai penghalang untuk terus menikmati keceriaan dalam hidupnya seperti orang lain.

Bagi beliau, walaupun sudah takdir, kesihatan perlu dijaga, kecergasan dan minda tidak seharusnya diabaikan malah perlu sentiasa aktif selain digalak bergaul dalam kalangan masyarakat yang sentiasa berfikiran positif.

Begitu juga dengan penampilan diri, Maniseh yang pernah bertugas bersama agensi kerajaan dan swasta selain menjadi pengacara televisyen sekitar tahun 70 hingga 80-an, sehingga kini seorang bergaya.

Ini kerana, katanya, penampilan menarik dengan mengenakan pakaian cantik mampu menceriakan dirinya malah meningkatkan tahap keyakinan diri setiap kali berdepan orang sekeliling.

“Saya tidak mahu kesakitan membelenggu diri saya. Untuk menjaga penampilan, kecergasan badan juga perlu dijaga dan pesakit barah digalak bersenam.

“Saya melakukan pelbagai aktiviti secara berkumpulan setiap minggu seperti menyertai senaman taichi, menari dan menyanyi. Saya suka aktiviti seperti ini kerana dapat menggembirakan diri.

“Tambah pula bertemu rakan turut menyumbang aura positif, selain meningkatkan hormon endorfin baik kepada tubuh saya. Sekiranya saya bertemu dengan orang yang bercakap perkara negatif, saya terpaksa ‘angkat bontot’ saja,” selorohnya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan jenama kecantikan dari Jerman, Babor, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sertai program aura positif

Maniseh yang juga penaung Pink Ribbon Wellness (L) Foundation (PRWF), menggalakkan pesakit bangkit melawan kanser dengan menyertai aktiviti yang membawa aura positif.

“Saya melihat ramai pesakit kanser payudara yang tidak menjaga penampilan. Ada kala tampak tidak bersiap, murung dan bersedih. Tidak seharusnya begitu sebaliknya bangkit melawan dengan penampilan lebih menarik,” katanya.

Menceritakan pengalaman awal didiagnosis kanser payudara kira-kira 12 tahun lalu, Maniseh berkata pada awalnya beliau tidak terasa sakit.

Beliau berkata, itulah bahayanya, kanser tahap 2B memerlukan dia menjalani rawatan radioterapi. Walaupun menjalani pemeriksaan setiap tahun, namun tumor yang dialami terdapat pada bahagian saluran susu hingga sukar dikesan.

“Saya dapat tahu sudah lambat walaupun beberapa tahun membuat pemeriksaan di sebuah hospital swasta. Kemudian saya merujuk ke hospital swasta lain. Selepas menjalani ujian mamogram di sana, keputusan mendapati terdapat kalsium deposit pada payudara.

PUAN Sri Maniseh Adam ketika ditemui pada majlis memperkenalkan jenama kecantikan dari Jerman, Babor, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

“Doktor mengambil ujian pipe C dan mengambil sampel untuk dihantar ke makmal,” katanya yang mengaku reda sebaik doktor mengesahkannya mempunyai kanser payudara.

“Saya tidak mencari rawatan alternatif sebaliknya memberi perhatian sepenuhnya dengan menjalani rawatan konvensional di hospital pakar.

“Menjalani pembedahan membuang semua sembilan kelenjar (limnot) yang mengandungi air dan sudah merebak hingga ke bahagian bawah lengannya (ketiak),” katanya.

Rawatan berbeza mengikut individu

Maniseh berkata, tumor ada pada bahagian payudara berbeza dengan orang lain dan tidak sama. Jika bernasib baik, dapat kanser tumor yang baik, jika tidak, boleh sampai ke tahap yang tiada ubat dan rawatan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tumor tidak mengganas. Kalau tumor mengganas, rawatannya sangat mahal malah boleh menyebabkan pesakit terpaksa menjual rumah,” katanya yang menjalani rawatan kemoterapi dan 20 radioterapi.

Berkongsi pengalaman menjalani rawatan itu, itu, katanya tidak sakit tetapi beliau pening dan seakan mabuk selepas rawatan.

“Doktor sediakan pakar pemakanan memberi maklumat sajian sesuai sebelum dan selepas menjalani rawatan. Sebelum rawatan pesakit perlu makan protein untuk kuatkan badan.

“Daging putih menguatkan badan sebelum menjalani rawatan tetapi selepas kena kurangkan daging sebaliknya memperbanyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.

Beliau tidak menafikan kebanyakan pesakit selalu menangis, sedih dan murung dan tidak bersemangat apabila disahkan menghidap kanser.

“Bagi menikmati kehidupan ceria walaupun menghidap kanser pesakit yang mencari teman dan mendapatkan panduan serta kelas bimbingan khas yang menarik seperti PRWF,” katanya.

Peranan Yayasan Pink Ribbon

* Anjurkan kelas motivasi dan bimbingan menitikberatkan penampilan, menghias diri, kemahiran sosial bagi meningkatkan tahap keyakinan diri.

* Peserta dipelawa menyertai kumpulan aplikasi sosial Whatsapp bagi berkongsi maklumat dan nasihat.

* Tumpuan kepada pesakit di kawasan pedalaman

* Panduan jalani rawatan susulan

* Panduan agama bersesuaian dengan keperluan pesakit

* Anjur program penampilan diri dengar kerjasama pengeluar produk penjagaan kulit Babor.

Program ‘Beauty for a Cause’ berlangsung di Lot 10 pada 27 Julai ini, bertujuan memberi sokongan membangunkan PRWF. * Acara direkodkan dalam Malaysia Book of Record bertujuan bagi mengumpul dana membantu PRWF.

INFO:

Pink Ribbon Wellness (L) Foundation (PRWF),

* Ditubuhkan sejak enam tahun lalu

* Membimbing wanita supaya lebih bersemangat berhadapan cabaran kanser.

* Tumpuan khusus di kawasan pedalaman

Berita Harian X