Khamis, 1 Ogos 2019 | 12:18pm
PENGAMBILAN kalori yang rendah daripada sepatutnya boleh mengundang padah dan mudah dijangkiti batu karang hempedu.

Diet rendah kalori untuk kurus ganggu sistem badan

AMALAN pemakanan (diet) dengan mengambil makanan berkalori rendah untuk menghilangkan berat badan dengan cepat akan mengganggu sistem kimia dalam badan. Ini menyebabkan pundi hempedu kurang mengecut, sekali gus mendedahkan risiko menghidap batu karang hempedu.

Perunding Pembedahan Am, Hospital Columbia Asia Malaysia, Dr Khairul Izan Mohd Ghani @ Mamat, berkata kebanyakan orang terutama wanita terlalu obses untuk memperoleh bentuk badan yang cantik dengan mengamalkan diet makanan rendah kalori.


PERUNDING Pembedahan Am, Hospital Columbia Asia Malaysia, Dr Khairul Izan Mohd Ghani

Beliau berkata, pengambilan kalori yang rendah daripada sepatutnya boleh mengundang padah dan mudah dijangkiti batu karang hempedu.

Katanya, walaupun penyakit ini sering dihidapi wanita berusia dan memiliki tubuh yang berisi, namun terdapat wanita seusia 20 tahun pernah menghidapinya. Malah, wanita lebih berisiko dua kali ganda berbanding lelaki.

“Kajian juga membuktikan batu karang hempedu adalah penyakit yang diwarisi dan tidak dihalang pembentukannya,” katanya kepada BH.

Gangguan genetik

Terdapat laporan di Amerika Syarikat, mengatakan seramai enam peratus dalam kalangan lelaki dan sembilan peratus daripada kalangan wanita berhadapan masalah berkenaan.

Manakala di Itali pula, kajian mendapati seramai 18 peratus daripada kalangan wanita dan 9.5 peratus lelaki mengalami batu hempedu.

Dr Khairul Izan berkata, ada ketikanya batu karang hempedu terlepas daripada pundi hempedu lalu masuk ke pankreas melalui duktus yang boleh mengakibatkan komplikasi pankreatitis, sekali gus mengancam nyawa.

“Simptom duktus hempedu tersumbat ialah kulit kekuningan dan kawasan mata menjadi putih (jaundis), air kencing berwarna gelap, demam berlarutan dengan keadaan pesakit menjadi panas dan sejuk berpanjangan.

“Kesan ini boleh dilihat dan dirasai secara jelas, pesakit perlu mendapatkan rawatan segera jika gejala berkenaan berterusan hingga menjejaskan keselesaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan batu karang hempedu sukar dikesan menerusi simptom awal, namun boleh diketahui menerusi ujian ultrasound atau imbasan tomografi berkomputer.

Ujian darah kesan jangkitan

“Ketika pemeriksaan jaundis, pesakit akan menjalani ujian darah bagi mengesan sebarang jangkitan, tahap enzim pankreatik atau hati yang tidak normal serta bilirubin berlebihan,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang menghidapnya, mereka boleh mendapat rawatan menerusi prosedur pembedahan laparoskopik kolesistektomi atau pembedahan terbuka bagi mengeluarkan pundi hempedu.

“Manakala rawatan bukan pembedahan, pesakit diberikan pil garam hempedu (ubat ursodial - Actigall) bagi melarutkan batu kolesterol.

“Begitu juga dengan terapi gelombang bunyi (litotripsi gelombang kejutan extracorporeal), bertujuan memecahkan batu-batu berkenaan. Bagaimanapun, keadaan itu dikhuatiri boleh kembali terbentuk, melainkan menerusi pengambilan ursodial,” katanya.

Simptom awal batu karang hempedu:

* Rasa senak kronik - pesakit mengalami mual, angin, kembung perut dan sakit pada abdomen;

* Kesan sakit 15 hingga 30 minit, ada kalanya lebih satu jam.

* Bermula pada bahagian tengah dan kanan abdomen hingga menular ke belakang atau bahu kanan;

* Serangan tidak menentu mingguan, berbulan ada kalanya hingga bertahun.

* loya dan muntah, terutama batu karang hempedu terperangkap di pangkal pundi hempedu, kadang kala menyebabkan demam panas.

INFO

* Dipanggil ‘gallstone’- disebabkan pengumpulan kolesterol, kalsium, garam bilirubin dan bendasing jangkitan parasit atau bakteria di dalam hempedu.

* Batu karang hempedu berkolesterol - berwarna kekuningan di mana 80 peratus adalah batu kolesterol;

* Batu karang berpigmen - berwarna coklat hitam atau gelap, terbentuk kerana banyak bilirubin akibat mengalami sirosis, jangkitan trek biliari dan anaemia;

* Saiz batu karang hempedu sekecil sebutir pasir atau sebesar bola golf dengan jumlah seketul atau beratus;

Berita Harian X