Sabtu, 3 Ogos 2019 | 12:09pm
Elakkan makan tengah malam dan amalan diet seimbang bagi mengelak obesiti.

Obes boleh mengancam nyawa

Amalan makan sepanjang masa sehingga tengah malam dipercayai antara penyumbang utama pertambahan berat badan dalam kalangan generasi muda.

Senario tidak sihat itu menyebabkan individu berdepan masalah berat badan sekali gus mengundang pelbagai penyakit kronik seperti diabetes dan kardiovaskular.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2015 mencatatkan, penduduk di negara ini yang memiliki berat badan berlebihan sebanyak 30 peratus, berbanding 16.6 peratus, pada 1996.

Tahap obesiti pula dilaporkan sebanyak 17.7 peratus (2015) berbanding hanya 4.4 peratus pada 1996.

Laporan itu meletakkan Malaysia pada kedudukan teratas memiliki paling ramai mengalami masalah berat badan berlebihan di Asia Tenggara.

PERUNDING Gastroenterologi & Hepatologi, Pusat Perubatan CENGILD GI, Datuk Dr Tan Huck Joo.

Perunding Gastroenterologi & Hepatologi, Pusat Perubatan CENGILD GI, Datuk Dr Tan Huck Joo, berkata mengikut statistik pada 1996, nisbah penduduk di negara ini dicatatkan seorang daripada lima orang adalah obes.

Katanya, nisbah itu meningkat sehingga 47.7 peratus pada 2015, iaitu dengan nisbah seorang daripada dua orang adalah obes.

“Obesiti bermaksud pengumpulan lemak yang tidak normal atau berlebihan menjurus kepada risiko gangguan kesihatan,” katanya.

Justeru, beliau berkata individu perlu mengawal obesiti kerana ia boleh mengancam nyawa atau berdepan dengan penyakit kritikal seperti kardiovaskular, kencing manis, tekanan darah tinggi, angin ahmar, hati berlemak, sirosis, kanser payudara, rahim dan kolon.

Katanya, obesiti mempengaruhi kualiti hidup disebabkan perubahan fizikal berat dan saiz badan membuatkan seseorang sukar bernafas, tidur berdengkur, tidur apnea (mati dalam tidur), keletihan dan arthritis.

“Ukuran kasar bagi Indeks Jisim Badan (BMI) lebih 25 adalah berat badan berlebihan manakala BMI lebih 30 adalah obesiti.

“BMI ditentukan mengikut ukuran berat dalam kilogram (kg) bahagi ketinggian dalam meter persegi. Sebagai contoh lelaki dengan ketinggian 1.70 meter dan berat 124 kilogram (km), iaitu 1.7 x 1.7 = 2.89. BMI adalah 124 kg dibahagikan dengan 2.89 bersamaan 42.9 keputusan BMI, bererti lelaki ini adalah obesiti,” katanya.

Obesiti adalah masalah kesihatan utama di seluruh dunia dan memberi kepada besar kepada individu terbabit.

Pencegahan obesiti perlu untuk mengelak risiko mendapat diabetes, hipertensi dan tidur apnea.

“Obesiti boleh dirawat dengan tiga cara iaitu diet, senaman, rawatan endoskopi dan rawatan pembedahan,” katanya.

KUALA LUMPUR 10 DECEMBER 2018. Obesiti dikalangan kanak-kanak semakin membimbangkan. NSTP/EMAIL

Bagi mereka yang ingin melakukan rawatan obesiti dengan cara endoskopi, BMI sebaiknya mencatat 28 hingga 35 yang boleh menghilangkan berat

badan sehingga 15 kg.

“Bagi rawatan pembedahan pula, dengan BMI melebihi 35 akan menurunkan berat badan 20 hingga 30 kg. Manakala pembedahan pula boleh dipilih menggunakan prosedur “Sleeve gastrectomy”, “Gastric banding” dan “Gastric bypass”, katanya.

Info: Negara mencatat peratusan tertinggi obesiti seluruh dunia.

1. Republik Nauru (utara Australia) - 61%

2. Kuwait - 37.9%

3. Amerika Syarikat - 36.2%

4. Jordan - 35.5%

5. Arab Saudi - 35.4%

6. Qatar - 35.1%

7. Emiriah Arab Bersatu (UAE) - 31.7%

8. New Zealand - 30.8%

Asia Tenggara

1. Malaysia - 45.3%

2. Korea Selatan - 33.2%

3. Pakistan - 30.7%

4. China - 28.3%

Berita Harian X