Sabtu, 3 Ogos 2019 | 12:31pm
BUAH beri biru seakan manik mempunyai pelbagai khasiat kaya vitamin C dan anti-kanser. - Gambar Hiasan

Beri biru bantu elak kanser

BUAH beri biru seakan manik ini mungkin kecil saiznya tetapi kaya dengan khasiat dan mampu mencegah pelbagai penyakit kronik yang tidak diingini.

Warna biru terhasil daripada antisianin membantu menyihatkan jantung, mengekalkan tulang kuat, kanser dan kesihatan mental.

Malah secawan beri biru menyediakan 24 peratus keperluan harian vitamin C yang membantu melindungi sel melawan kerosakan dan membantu penyerapan zat besi.

Ia mengandungi serat larut yang boleh memperlahankan kadar pengeluaran gula ke dalam salur darah dan membantu sistem penghadaman lebih sihat.

Makan segenggam buah ini setiap hari untuk mendapatkan khasiatnya atau jadikan ia sebagai asas dalam makanan atau minuman.

BERI biru boleh dimakan dalam pelbagai cara termasuk dalam ramuan kuih-muih. - Foto Asraf Hamzah

Penasihat Kesihatan dan Kecergasan, Linora Low, berkata perlu idea kreatif dalam menghasilkan hidangan berkhasiat menggunakan beri biru.

“Rasanya yang manis membuatkan ia enak dimakan begitu saja atau dijadikan snek apabila anda atau anak ingin mengunyah sesuatu.

“Bagi mereka yang menjalani gaya hidup aktif, buah beri biru ini baik dijadikan snek atau kudapan yang boleh mengenyangkan selain mengurangkan radang serta merendahkan tekanan darah,” katanya.

Buah ini hanya mengandungi 80 kalori dalam setiap cawan dan lebih penting tiada lemak selain rendah sodium atau garam.

Linora berkata, sebagai selebriti beliau amat mengutamakan sihat tetapi kesibukan menyebabkan sukar mendapatkan hidangan sihat dan cepat dimasak.

Berkongsi resipi mudah iaitu minuman smoothie dan kek mufin menggunakan buah beri biru yang memberikan khasiat.

MINUMAN smoothie daripada buah beri biru. - Foto Asyraf Hamzah.

“Beri biru menambah rasa unik selain memberikan warna yang menarik. Bagi menambah rasa tambah sedikit madu ke dalam minuman anda selain susu.

“Ia sesuai dijadikan snek untuk anak ia keupayaannya dalam meningkatkan kebolehan kognitif anak,” katanya.

Mufin beri biru bunga kobis dikisar ditambah susu segar juga antara hidangan boleh dibuat menggunakan buah itu.

Katanya, galakkan anak minum susu segar dicampur dengan smoothie atau disediakan dengan membekukan buah untuk kegunaan masa depan.

Info

Khasiat beri biru

* Kaya vitamin C

* Vitamin B6

* Vitamin K

* Boleh merendahkan kolesterol

* Mencegah kanser

Cara makan:

* Segar

* Dibekukan

* Dikeringkan

Berita Harian X