Sabtu, 3 Ogos 2019 | 12:53pm

Pilih menu betul, kekalkan langsing

MELIHAT susuk tubuh langsing, pasti ramai menyangka ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mengamalkan diet ketat termasuk mengurangkan karbohidrat dan makanan berlemak.

Sangkaan itu kurang tepat kerana Farah Ann, mengakui menggemari apa sahaja makanan tetapi apa yang penting adalah kuantiti yang dimakan.

“Jangan takut dengan karbohidrat kerana ia memberikan tenaga tetapi sudah tentu tidak baik sekiranya dimakan berlebihan.

“Apa yang penting, semuanya perlu dimakan dalam jumlah sederhana dan setiap hidangan perlu mengandungi khasiat diperlukan tubuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi demonstrasi penyediaan sarapan juara menggunakan balutan lempeng atau wraps Mission Food, baru-baru ini.

Ramai takut bersarapan semata-mata untuk kekal ramping, bagaimanapun tindakan itu kurang bijak kerana bukan saja boleh menjejaskan kesihatan tetapi juga mengganggu emosi.

Dua hidangan disediakan iaitu ‘pisang chiajammies’ yang menggunakan balutan lempeng ditaburi biji chia, hirisan pisang, kacang walnut dan madu serta ‘pesta dalam wrap’ yang mengandungi hirisan dada ayam, mangga, lemon, nanas, tomato dan kobis ungu.

Farah Ann berkata, sarapan sangat penting kerana ia bukan sahaja membekalkan tenaga untuk menjalani aktiviti seharian tetapi sebagai permulaan hari yang menceriakan.

“Saya memerlukan sarapan untuk membekalkan tenaga kerana perlu menjalani latihan empat hingga enam jam sehari dengan berdiri di atas bim dan melompat.

“Ia mengandungi karbohidrat, protein dan secawan kopi. Biji chia sangat bagus kerana ia memberikan lebih tenaga,” katanya.


Farah Ann mengamalkan diet seimbang ketika bersarapan

Beliau menggemari ayam kerana ia mengandungi protein yang penting untuk memulihkan dan membina otot.

Kurangkan pengambilan gula dalam sarapan kerana ia boleh membuatkan rasa mengantuk dan lemah.

Beliau mengakui sering menyediakan sendiri sarapan dan sekiranya tidak sempat akan menikmatinya ketika dalam perjalanan untuk menjalani latihan.

Atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA), Peter Davis, berkata sarapan lebih menarik sekiranya bijak mengolah makanan secara lebih kreatif.

“Bagi meningkatkan selera gunakan bahan segar seperti timun jepun atau Zucchini dan bayam untuk serat, karbohidrat dan protein untuk memulihkan kecederaan dialami pada otot,” katanya.

Peter yang juga model dan pelakon, membuat ‘Feta bayam tinggi protein’ dan ‘sea bed’ yang kaya dengan udang dengan cili padi dan balutan lempeng quinoa untuk sarapan.

Sarapan membuatkan otaknya lebih tajam dan fokus dalam berdepan dengan lawan.

Info: Kesan tidak bersarapan:

1. Kadar gula dalam darah - Insulin tidak stabil

2. Kadar metabolisma semakin perlahan

3. Meningkatkan tahap hormon stres (kortisol) - Mmudah rasa gelisah

4. Meningkatkan risiko penyakit jantung - 27 peratus lebih berisiko

990 dibaca
Berita Harian X