Khamis, 8 Ogos 2019 | 6:26pm
Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dr. Heric Corray (tengah), Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KL Pink October 2019 HKL, Dr. Ros Suzanna Ahmad Bustamam (tiga kiri) dan Ahli Jawatankuasa, melancarkan KL Pink October 2019 di Auditorium HKL. - Foto Saifulizan Tamadi

HKL beri keutamaan pesakit selepas dua minggu disahkan barah

KUALA LUMPUR: Pesakit barah yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), diberikan rawatan segera dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu selepas penyakit dikesan.

Pengarahnya, Dr Heric Corray, berkata keutamaan diberikan kepada semua barah termasuk kanser payudara.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan pesakit diberi rawatan segera tanpa perlu menunggu lama untuk menjalani rawatan termasuk pembedahan bagi mengelak kanser daripada merebak.

“Terkini, seorang pesakit yang dikesan positif barah payudara pada kempen KL Pink Project lalu, menjalani pembedahan mengeluarkan ketumbuhan selepas dua minggu", katanya.  

Beliau berkata demikian selepas pelancaran KL Pink October 2019, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Ketua Jabatan Radioterapi HKL, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam, Penyelaras Program KL Pink Project dan KL Pink October 2019, Mohamad Azlan Jaafar dan Pakar Bedah Klinikal HKL, Dr Nor Azham Hakim Derail.

Dr Heric berkata, kesedaran untuk menjalani pemeriksaan barah payudara dalam kalangan wanita di negara ini masih rendah.

Berdasarkan kempen saringan KL Pink Project yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, pihaknya mendapati daripada 491 wanita yang menjalani ujian saringan, 52 diberikan janji temu menjalani pemeriksaan lanjutan, namun keadaan menyedihkan kerana hanya 18 diminta berbuat demikian yang hadir.

KL Pink Project dijalankan sejak 4 Mei lalu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PA) sekitar Lembah Klang.  

Kempen dijadual berlangsung sehingga 5 Oktober ini, sempena KL Pink October, bermatlamat meningkatkan kesedaran mengenai barah payudara.  

Pelbagai acara menarik dijadualkan sepanjang program yang memasuki tahun keempat termasuk KL Pink October Walk pada 19 Oktober ini. Larian lima kilometer yang bakal disertai oleh Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Street Carnival dan Zumba pada hari sama.

Info Kawasan kempen KL Pink Project:

* PPR Desa Rejang-17 Ogos

* PPR Pekan Kepong-7 September

* PPR Gombak Setia-21 September

* PPR Kg Muhibbah-5 Oktober

784 dibaca
Berita Harian X