Sabtu, 10 Ogos 2019 | 11:00am
Pakar Consultant Gastroenterologist dan Hepatologist, Dr. Sheikh Anwar Abdullah ketika berada di bilik bedah, Pusat Perubatan Sunway. - Foto Amirudin Sahib

Kesan kanser dengan teknologi EUS

KANSER di kawasan organ penghadaman seperti salur makanan atau esofagus dan pankreas sukar dikesan pada peringkat awal.

Ini disebabkan tiada gejala awal ditunjukkan atau dirasai pesakit selain kedudukan sel kanser berlaku di dalam lapisan esofagus dan pankreas yang sukar dikesan.

Kanser esofagus sangat pantas merebak dan agresif kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia 40 sehingga 60 tahun.

Manakala kanser pankreas berlaku di dalam tisu pankreas iaitu organ yang terletak secara melintang di bahagian belakang bawah perut.

Pankreas mengeluarkan enzim membantu penghadaman dan hormon untuk menguruskan gula di dalam darah.

Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Sheikh Anwar Abdullah, berkata kanser pankreas boleh merebak dengan cepat ke organ berhampiran lain sekiranya tidak dikesan awal.

“Kini kanser ketumbuhan atau pra kanser di kawasan pankreas dan esofagus boleh dikesan awal menggunakan teknologi Endoskopi Ultrabunyi (EUS) iaitu gabungan endoskopi dan ultra bunyi.

“Ia mampu menunjukkan imej dan maklumat mengenai saluran penghadaman, tisu dan organ di sekitarnya menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi selain imej organ dan struktur di dalam tubuh lain seperti pundi kencing dan hati,” katanya.

Menerusi EUS doktor boleh mengesan punca sebenar sakit di bahagian abdomen atau menentukan tahap perkembangan sesuatu penyakit.


Pakar Consultant Gastroenterologist dan Hepatologist, Dr Sheikh Anwar Abdullah menerangkan mengenai rawatan prosedur EUS di Pusat Perubatan Sunway. - Foto Amirudin Sahib

Ketika prosedur dijalankan, alat ultra bunyi yang kecil diletakkan di penghujung endoskop berbentuk tiub anjal dilengkapi kamera.

Ia kemudian dimasukkan menerusi mulut ke bahagian atas saluran penghadaman selepas pesakit dibius bagi mendapatkan imej organ yang berkualiti tinggi.

Katanya, sebelum ini kanser hanya boleh dikesan menerusi imbasan magnetic resonance imaging (MRI) tetapi sel kanser yang terdapat di dalam lapisan organ tidak dapat dilihat dengan tepat.

EUS boleh melihat dengan jelas tumor pada lapisan usus yang terbabit seterusnya boleh memberikan tahap kanser dengan lebih tepat untuk rawatan lanjut.

EUS juga boleh digunakan untuk mengambil sampel tisu di kawasan terbabit tanpa perlu menjalani pembedahan, menilai sejauh mana penyakit pankreas yang dialami, mengenal pasti masalah saluran di dalam pundi hempedu dan saluran hempedu pundi kencing atau mengenal pasti ketumbuhan di dinding usus.

“Menerusi paparan imej dan sampel tisu, doktor dapat merancang jenis rawatan dijalani oleh pesakit sama ada hanya perlu menjalani kemoterapi atau menjalankan pembedahan membuang sel barah.

“EUS juga boleh digunakan untuk tujuan terapeutik seperti Neurolisis celiac pleksus (saraf organ dalam abdomen), mengeluarkan cecair dari pankreas (pseodosis 'drainage'), prosedur 'radiafrequency ablation' untuk mengurangkan kesakitan dan ketumbuhan pankreas bukan kanser (pankretik lesi benin).

“Prosedur ini dijalankan dalam tempoh 30 minit dan sekali gus meningkatkan peluang untuk sembuh menerusi rawatan lebih tepat,” katanya.


Dr Sheikh Anwar Abdullah. - Foto Amirudin Sahib

INFO: Petanda kanser esofagus

  • Sukar atau sakit ketika menelan terutama daging, roti atau sayur mentah.
  • Dada rasa tertekan atau terbakar.
  • Muntah.
  • Kerap tercekik makanan.
  • Kehilangan berat badan yang sukar dijelaskan.
  • Batuk atau suara garau.
  • Sakit di belakang tulang dada atau tekak.
  • Petanda kanser pankreas:

  • Jaundis atau mata dan kulit berwarna kuning.
  • Sakit perut atau abdomen atau belakang.
  • Hilang selera makan dan berat badan menurun.
  • Pembesaran pundi kencing atau hati.
  • Darah beku.
  • Diabetes.
  • Fungsi EUS:

  • Menilai tahap kanser esofagus, perut, paru-paru.
  • Menilai pankreas kronik atau masalah lain pankreas.
  • Mengkaji kelainan atau tumor di dalam organ termasuk hempedu dan saluran hempedu dan hati.
  • Mengkaji otot bawah rektum dan saluran dubur bagi menentukan punca pembuangan air besar tidak terkawal.
  • Mengkaji benjolan di dinding usus.
  • 890 dibaca
    Berita Harian X