Sabtu, 17 Ogos 2019 | 5:08pm
IMBASAN ultrabunyi yang mampu mengesan kecacatan bayi di Pusat Perubatan Universiti Malaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kesan kromosom tidak seimbang seawal janin

SETIAP pasangan berkahwin mengimpikan cahaya mata dilahirkan sempurna mental dan fizikal.

Malangnya, ada bayi dilahirkan cacat atau mendapat sakit seperti barah mulut, ketumbuhan bahagian muka dan kepala membesar.

Bagaimanapun, ibu bapa boleh merancang kelahiran bayi yang sempurna menerusi kecanggihan teknologi imbasan imej dalam kandungan atau ultra bunyi.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan, berkata menerusi imbasan pakar boleh melihat sebarang kelainan pada perkembangan struktur bayi dan bekerjasama dengan pakar pembedahan lain mengenai rawatan diperlukan selepas bayi dilahirkan.

Katanya, ibu mengandung digalakkan menjalani ultra bunyi pada usia kandungan antara 18 sehingga 23 minggu bagi melihat perkembangan bayi.

“Pakar Fetomaternal selalunya cuba mengesan masalah sebelum kelahiran atau membuat ujian sebelum bersalin dan memberikan nasihat kepada ibu bapa mengenainya,” katanya.

Pakar nasihat, ibu bapa buat keputusan

Beliau berkata, jika bayi dikesan mengalami kecacatan dan rendah untuk hidup, ibu bapa boleh membuat keputusan sama ada mahu menggugurkan atau meneruskan kandungan.

Pakar boleh memberikan nasihat berdasarkan perubatan dan tidak mempengaruhi ibu bapa dalam membuat sebarang keputusan.


IMBASAN ultrabunyi mampu mengesan kecacatan bayi yang menunjukkan imej ketumbuhan di sekitar mulutnya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Katanya, pengguguran di negara ini termaktub mengikut Seksyen 312 dan 313 Kanun Keseksaan, membolehkan dalam bidang perubatan, janin digugurkan sekiranya bayi tidak dapat diselamatkan selepas dilahirkan atau mengancam nyawa ibu.

Faktor lain adalah usia kandungan mahu digugurkan belum mencapai usia 22 minggu.

Katanya, menggugurkan kaedah terakhir, tetapi teknologi perubatan sudah berkembang maju sejak 20 tahun lalu, membolehkan kecacatan fizikal bayi boleh dipulihkan.

“Jika ibu bapa mahu meneruskan kandungan, tidak menjadi masalah kerana ada pakar kanak-kanak termasuk pembedahan plastik boleh memperbetulkan kecacatan bayi.

“Contohnya, bayi dilahirkan sumbing bibir, ia boleh diperbetulkan menerusi pembedahan dalam tempoh beberapa bulan selepas dilahirkan dengan sedikit parut,” katanya.

Kesan ketumbuhan

Pakar Obstetrik dan Ginekologi PPUM, Dr Sofiah Sulaiman, berkata kecacatan struktur bayi boleh dikesan menerusi imbasan terutama tulang belakang tidak tertutup sepenuhnya atau spina bifida dan kecacatan otak.

Katanya, masalah sindrom down, antara yang sukar dikesan melalui imbasan sahaja kerana ia membabitkan masalah kromosom.

“Jika imbasan didapati tanda kecil sindrom down (soft markers) seperti tiada tulang hidung, jari kelingking bengkok, tulang paha dan lengan sedikit pendek atau usus tidak bersambung, akan disarankan membuat ujian kromosom,” katanya.


PAKAR Perunding Obstetriks dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Jamiyah Hassan (kanan) dan Dr Sofiah Sulaiman melakukan pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ujian itu dibuat melalui air ketuban atau uri yang dilakukan dengan memasukkan jarum ke dalam rahim tetapi kaedah berisiko menyebabkan keguguran atau air ketuban pecah, selain kos tinggi.

Pakar akan berbincang dengan pesakit sebelum menjalankan ujian itu dan ibu bapa berhak menolak sekiranya enggan melakukannya.

Sekiranya ada ketumbuhan atau sel tumor yang besar, ia boleh dilihat tetapi kadangkala terlalu kecil dan sukar dilihat ketika diimbas kali pertama.

Imbasan boleh dibuat semasa usia kandungan lebih besar, biasanya pada 32 hingga 34 minggu, mungkin dapat mengesan ketumbuhan yang pada asalnya kecil.

Tumor biasanya dikesan apabila ibu dirujuk kepada pakar kerana didapati air ketuban banyak dan rahim kelihatan lebih besar berbanding saiz biasa. Biopsi tidak boleh dijalankan ketika bayi di dalam kandungan kerana risiko tinggi.

“Ibu bapa dinasihatkan tidak berputus jika bayi dikesan mengalami kecacatan kerana teknologi kini membolehkan masalah di atasi dan perlu berjumpa doktor sebelum melahirkan bayi.

“Persediaan awal boleh dirancang bersama pakar untuk merawat bayi termasuk melakukan pembedahan diperlukan,” katanya.

Info

* Faktor kecacatan bayi:

- Genetik

- Kromosom

- Pencemaran alam sekitar

(asap rokok, asap kenderaan dan sebagainya)

* Pencegahan:

- Makan asid folik tiga bulan sebelum hamil dan sepanjang kehamilan.

- Pemeriksaan berkala ketika hamil.

- Amalkan hidup sihat.

Berita Harian X