Rabu, 21 Ogos 2019 | 4:05pm
MAZLAN Hassan menjalani aktiviti seperti biasa selepas menjalani pembedahan sebagai penerima jantung ketika temubual di kediamannya di Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Kerjasama waris lancar prosedur derma organ

KEHILANGAN adik bongsu, Mohd Fadhli Fahimi Zainal, yang berlaku secara tragik, 19 tahun lalu sukar dikikis dalam ingatan Safira yang bertugas sebagai Optometris Hospital Kuala Lumpur.

Safira, 47, kakak kepada Mohd Fadhli, berkata adiknya yang ketika itu berusia 12 tahun dipercayai terjatuh daripada kereta api yang dinaiki bersama keluarga ketika dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Kajang, Selangor,

“Kami tidak sedar kejadian menimpa adik saya sehinggalah kami mendapati dia tiada apabila tiba di stesen Kajang. Awalnya kami sangka dia di dalam tandas tetapi selepas puas mencarinya, akhirnya kami dimaklumkan pemandu komuter yang dalam perjalanan ke Seremban mendapati ada budak terbaring di sebelah landasan kereta api,” katanya kepada BH.

Safira berkata, pada awalnya mereka sekeluarga sukar menerima hakikat pemergian adiknya secara mengejut.

Namun, yang membanggakan kematian adiknya tidak sia-sia apabila buah pinggangnya didermakan kepada dua insan lain yang memerlukan organ untuk terus hidup.  


NIK Safira bersama arwah adiknya, Mohd Fadhli Fahimi, ibu, Wan Sabariah Wan Mat Zain dan ayahnya, Zainal Abu Bakar.

Katanya, keputusan untuk mendermakan buah pinggang arwah adiknya ditetapkan oleh bapa mereka, Zainal Abu Bakar.

“Keputusan ayah mulanya mendapat tentangan ahli keluarga lain kerana mereka berpandangan pengambilan organ itu hanya menyeksa jenazah adik.

“Bagaimanapun, ayah tetap dengan hasrat mendermakan organ adik yang disifatkan sebagai amal jariah terakhirnya kepada insan lain,” katanya.

“Walaupun tidak pernah mengenali siapa penerima organ arwah tetapi mereka sekeluarga amat berbangga. Pengorbanan ini dapat menyelamatkan pesakit buah pinggang lain untuk meneruskan kehidupan,” jelasnya yang bercerita mengenai pengorbanan keluarga mereka menderma organ untuk insan memerlukan.

Tidak kenal keluarga waris

Sementara itu, pesakit jantung, Mazlan Hassan, 58, pula menerima jantung daripada seorang pemuda yang tidak pernah dikenali, 18 tahun lalu disifatkan sebagai anugerah tidak ternilai sepanjang hayatnya.

“Pemberian jantung daripada pemuda itu adalah 'nyawa' baharu bagi saya yang ketika itu sedang nazak menunggu maut di Institut Jantung Negara (IJN) akibat menderita penyakit jantung bengkak.


MAZLAN Hassan menceritakan pengalamannya sebagai penerima jantung di kediamannya di Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

“Saya amat bersyukur dengan pendermaan jantung ini, saya dapat meneruskan kehidupan dan melihat anak yang ketika itu masih kecil kini sudah dewasa,” katanya pesara bekerja di sebuah syarikat swasta ini.

Katanya, jantung yang berdegup dalam tubuhnya itu dipercayai milik seorang pemuda berusia 21 tahun dari utara tanah air yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Mazlan sentiasa mendoakan penderma dan keluarganya yang berhati mulia kerana mengizinkan jantung anak mereka didermakan kepada insan memerlukan sepertinya.  

“Sebelum ini, beberapa bulan selepas disahkan mengalami masalah jantung bengkak, ada penderma jantung lain tetapi tidak jadi dijalankan kerana keluarganya tidak membenarkan.


MAZLAN Hassan menjalani aktiviti seperti biasa bersama isteri Fazidah Hanim Mohd Daud selepas menjalani pembedahan sebagai penerima jantung ketika temubual di kediamannya di Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

“Ketika itu saya rasa terlalu kecewa dan hanya menunggu mati kerana hilang keyakinan ada penderma jantung lain,” katanya.  

Justeru, beliau berharap ahli keluarga tidak menghalang pendermaan organ kerana usaha sedemikian memberikan 'hidup' baharu kepada pesakit kegagalan organ sepertinya.  

Masih ramai pesakit terutama buah pinggang dan jantung sedang menanti pendermaan organ berkenaan demi meneruskan kehidupan.

Info

*Jumlah penderma sejak 2010:

1. Cina 392 orang (57.56%)

2. India 187 orang (27.46%)

3. Melayu 64 orang (9.40%)

4. Lain-lain 34 orang (4.99%)

5. Tidak diketahui 4 orang (0.59%)

*Jumlah penderma sehingga 2019:

1. Cina 4 orang (33.3%)

2. India 3 orang (25 %)

3. Melayu 5 orang (41.67%)

Berita Harian X