Selasa, 27 Ogos 2019 | 6:01pm
Grafik kanser paru-paru.

Kanser paru-paru sering dikesan pada tahap kritikal

Sebut apa saja kanser tergambar beban penderitaan yang mengubah seluruh hidup hingga membuatkan pesakit risau jika tiada penyembuhan jika tidak diberikan rawatan intensif.

Dalam kebanyakan barah, kanser paru-paru dikenal pasti serangan kedua paling lazim di negara ini dan menjadi antara punca kematian. Peringkat global pula, kanser ini kekal sebagai punca utama meragut nyawa setiap tahun berbanding kanser lain.

Pakar Kardiotorasik merangkap Presiden Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM), Dr Anand Sachithanandan, berkata di negara ini, majoriti pesakit disahkan mengalami penyakit ini pada peringkat lanjutan.

Pakar Kardiotorasik merangkap Presiden Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM), Dr Anand Sachithanandan.

Beliau berkata, data Registri Kanser Kebangsaan mendapati, hampir 90 peratus kes disahkan pada tahap ketiga dan keempat.

“Diagnosis awal penting bertujuan meningkatkan keserasian rawatan bersesuaian, selain proses penyembuhan memerlukan pendekatan berbilang disiplin dan terapi pelbagai kaedah.

“Justeru JKPM melaksanakan pendekatan menangani kanser dengan menyediakan platform bagi pesakit, penjaga dan pengamal kesihatan bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan masalah ini,” katanya pada majlis pelancaran JKPM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Strategi pencegahan

JKPM ditubuhkan bertujuan menangani peningkatan pesakit kanser paru-paru yang menunjukkan peningkatan ketara. dilancarkan sempena Hari Kanser Paru-Paru Sedunia.

Mempunyai 19 ahli jawatankuasa daripada pelbagai disiplin perubatan, diharap meningkatkan kesedaran mengenai kanser berkenaan menerusi pendidikan dan sokongan kepada pesakit dan pengamal perubatan.

Menerusi laman sesewang https://lungcancer.net.my, oramg ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan, termasuk strategi pencegahan, pemeriksaan individu berisiko, diagnosis, penentuan tahap kanser serta rawatan paliatif.

Dr Anand yang juga Pakar Bedah Kardiotorasik di Lembaga Pembedahan Kardiotorik Malaysia (MBCTS), berkata lazimnya pesakit sukar menerima ketentuan yang merubah kehidupan, apatah lagi berdepan hakikat menyesuaikan diri sebagai pesakit kanser secara tiba-tiba selepas disahkan menghidapnya.

Beliau berkata, majoriti pesakit kanser yang didiagnosis peringkat lanjutan, data Registri Kanser Kebangsaan menunjukkan 90 peratus kes kanser paru-paru didiagnosis pada peringkat tiga (penyakit sebaran tempatan) atau peringkat keempat (penyebaran metastatik).

“Kita mahu pesakit dan doktor membuat keputusan wajar berlandaskan maklumat terkini mengenai penjagaan mereka, “Laporan kesihatan global membuktikan, kanser paru-paru kekal sebagai penyakit lazim meragut nyawa berbanding barah payudara, kolon atau prostat.

Sedia terima hakikat

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM) yang juga Pakar Perubatan Respiratori Pusat Perubatan Prince Court, Dr Hilmi Lockman, berkata penyembuhan menjadi sukar apabila pesakit dalam keadaan menafikan atau cenderung bertukar rawatan dengan doktor lain.

“Ini didorong mahu menafikan kenyataan dan berjumpa doktor lain untuk mendapatkan pendapat kedua dengan harapan diagnosis awal satu kesilapan.

“Situasi sedemikian menyebabkan ramai pesakit sukar disembuhkan berikutan rekod perubatannya tidak konsisten. Keadaan ini melambatkan proses pemulihan.

“Sebagai pengamal perubatan, kami akan mengenal pasti ubat yang diambil kerana mahu pesakit menjalani proses penyembuhan dengan sempurna. Jika ubat yang diberi tidak menunjukkan sebarang tanda kelegaan, kita nasihatkan pesakit berhenti mengambilnya.

“Selain rawatan penyembuhan tidak hanya pada satu doktor, punca pesakit membabitkan lelaki lazimnya sering dikaitkan dengan tabiat merokok. Faktor lain seperti orang di sekeliling perokok, tinggal dalam lingkungan perokok tegar, sejarah dan latar belakang keluarga.

“Selain itu terdedah pada asap rokok, pemakanan dan diet harian, penambahan berat badan meningkatkan risiko kanser termasuk kanser paru-paru,” katanya.

INFO: Rawatan bergantung kepada:
* Jenis kanser
* Tahap kanser
* Keadaan fizikal dan fungsi pernafasan seseorang

Rawatan yang selalu digunakan adalah:
* Pembedahan - untuk kanser peringkat awal
* Kemoterapi dan radioterapi

Terapi secara sasaran untuk kanser paru-paru, sel kanser terdapat ‘epidermal growth factor receptor (EGFR)’.
* Kanser jenis ini rawatan secara ubatan “tyrosine kinase inbihitor” (TKI) seperti gefitinib dan erlotinib yang diambil secara oral sekali sehari.
* Paliatif untuk peringkat kanser kritikal
* Rawatan susulan
* Selepas sesuatu kanser peringkat awal dibuang melalui pembedahan, ada risiko kembali selalunya dalam masa dua tahun.
* Ujian berkala bagi mengelak kanser berulang

Rawatan Paliatif - Rawatan medikal atau ‘nursing care’
* Mengurangkan kesengsaraan dan bukanlah rawatan penyembuhan

Rawatan paliatif termasuk:
* Mengurangkan rasa sakit
* Mengurangkan sesak nafas
* Mengurangkan rasa cemas
* Memudahkan tidur
* Rawatan kemurungan

Berita Harian X