Sabtu, 7 September 2019 | 10:01am
ROSMAN Ibrahim

Sindrom resah jejas personaliti, takut mandi

KUALITI hidup merosot secara mendadak sebaik mengalami tanda awal gangguan mental yang tidak diketahui puncanya.

Simptom sukar tidur, sejuk anggota badan, berpeluh secara tiba-tiba, jantung berdebar sukar bernafas, tangan menggeletar dan fikiran sentiasa resah.

Semua keadaan ini mengesahkan seorang mengalami kecelaruan keresahan (anxiety disorder). Penderitaan tujuh bulan yang dialami Rosman Ibrahim, mengubah dirinya daripada individu ceria kepada insan yang suka menyendiri dan sukar berbual.

Katanya, perubahan disedari bermula selepas beberapa minggu beliau menjalani rawatan sinus. Tidak 100 peratus disebabkan rawatan itu, tetapi sedikit sebanyak mempengaruhi diri yang mengalami keresahan berkenaan.

“Saya menyedari perubahan selepas terjaga dari tidur untuk membuang air kecil. Pada jam 3 pagi terus tidak boleh tidur. Ketika itu fikiran resah, badan berpeluh, beberapa anggota badan sejuk. Sehinggalah waktu siang, keadaan tidak berubah.


ROSMAN Ibrahim

“Di tempat kerja saya bayangkan akan mengantuk tetapi sedikit pun tidak berasa untuk tidur biarpun berbagai cara dilakukan untuk melelapkan mata.

“Saya memakai baju lengan panjang dan berjalan tengah panas untuk memanaskan badan, namun keadaan tidak berubah, rasa sejuk tidak hilang,” katanya yang menceritakan kembali situasi awal ketika menghadapinya.

Pada masa sama, Rosman berkata, fikirannya memikirkan terkena buatan orang yang menggunakan dirinya dengan ilmu hitam.

Beliau berkata, namun selepas mendapatkan pelbagai rawatan selain mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran, dia disahkan tidak mengalami gangguan sihir.

Menurut Rosman, perubahan jelas mengganggu kehidupan sehariannya terutama sebagai pekerja, ketua keluarga dan hubungan dengan masyarakat. Malah fikirannya sentiasa bermain dengan sitgma ‘kalau aku...’

Takut mandi bimbang lemas

“Perubahan lain dirasakan termasuk takut mandi kerana bimbang lemas. Nafas tersekat bila berada dalam bilik air. Hanya boleh mandi pada waktu siang kerana nampak keadaan di luar menerusi tingkap bilik air masih terang.

“Setiap hari sebelum pulang kerja saya risau, kena pulang segera kerana hendak mandi awal. Saya cuba elak memakai minyak rambut ketika pergi kerja kerana takut perlu membasuh kepala dan mandi lebih lama.

“Dalam fikiran ini selalu bermain dengan pertanyaan ‘kalau aku’ lambat balik.., kalau aku tidak mandi dan bermacam-macam lagi bermain dalam fikiran ini,” katanya.

Akhirnya sahabat menasihatkan beliau berjumpa pakar psikiatri bagi merungkai segala misteri penyakit dialaminya.

Apabila menceritakan simptom dialami, katanya doktor mengesyaki dia memilik tanda gangguan mental atau lebih tepat anxiety disorder iaitu gangguan kecelaruan keresahan.

“Selepas disahkan mengalami keadaan itu, doktor memberikan ubat anti keresahan, selective serotonin dan reuptake inhibitor. Hanya sekali makan, saya pulang rumah terus mandi tanpa merasa apa-apa kebimbangan.

“Tidur seperti biasa dan lena hingga ke pagi, bangun pagi badan rasa segar dan mendapat semula kehidupan sebenar.

“Saya dinasihatkan melakukan senaman terapi seperti yoga, tai chi dan qi gong, bertujuan meredakan tekanan emosi dalaman, membetulkan pernafasan dan melancarkan pengaliran darah serta oksigen dengan baik.

“Juga dinasihatkan mendekatkan lebih banyak dengan agama, solat, mengaji al-Quran dan berzikir,” katanya yang pulih sepenuhnya dalam tempoh tujuh bulan.

Tidak bergantung ubat

Rosman kini tidak lagi bergantung dengan ubat anti keresahan, malah sering mengikuti aktiviti tai chi dan yoga di kawasan rumah setiap minggu.


DR Daniel Zainal Abdul Rahman

Perunding Psikiatri, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, berkata umumnya banyak stigma dilemparkan terhadap istilah penyakit mental.

Menurutnya, penyakit mental sebenarnya satu spektrum yang dalamnya hanya satu peratus saja dikatakan ‘gila’ (tidak waras), selebihnya 99 peratus tidak ada kena-mengena dengan penyakit tidak waras atau gila.

“Persepsi masyarakat mengatakan penyakit mental ini gila dan doktor psikiatri adalah doktor orang gila hanyalah mewakili satu peratus kerana adanya hospital bahagia yang merawat pesakit tidak waras.

“Dalam 99 peratus daripada mereka adalah dalam kalangan penyakit keresahan kecelaruan. Menurut Islam gangguan ini dipanggil penyakit was-was,” katanya ketika ditemui BH.

Dr Daniel Zainal berkata, keadaan ini menjurus kepada kemurungan yang tidak memerlukan pesakit ditahan di wad.

Beliau berkata, kecelaruan dan kemurungan ini adalah kategori besar membabitkan penyakit mental dan dibahagikan kepada beberapa sub penyakit, jika tidak dirawat menjadi pesakit mental kronik.

Gangguan serius

“Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan setiap negara memiliki satu daripada empat atau 25 peratus mengidap penyakit mental serius,” katanya.

Beliau berkata, pesakit terutama di negara maju menjalani rawatan khusus memandangkan di sana jumlah mereka lebih ramai disebabkan tekanan perasaan.

“Di negara ini dianggarkan 10 hingga 15 peratus mengalami masalah mental dan mereka perlu dirawat. Jika ikutkan angka sedia ada lebih besar namun atas faktor malu, takut dan tiada ada perlindungan insurans, individu terbabit tidak berjumpa psikiatri,” katanya.

Menurutnya, pesakit yang pulih selepas mendapatkan rawatan berkenaan, berisiko mendapat kembali penyakit sekiranya gagal menangani mengawal emosi.

“Terpulang sejauh mana mereka mampu mengawal emosi dalaman. Selain mendapatkan ubat selective serotonin dan reuptake inhibitor yang akan diberi mengikut arahan pakar.

“Pengambilan ubat dikurangkan secara berperingkat, pesakit perlu membuat rawatan sendiri dengan kaedah terapi seperti tai chi, yoga dan qi gong,” katanya.

Info: Antara mereka yang berisiko:

Faktor kecenderungan
- Seorang yang sudah memiliki personaliti dan kronik (risau)
- Sejarah keluarga

Faktor pencetus
- Situasi tekanan di tempat kerja
- Hubungan sekeliling (masyarakat, majikan, pasangan, kawan)

Faktor memudaratkan
- Bagi mereka yang tidak dapat mengatasi sesuatu masalah cenderung membawa gangguan mental.

Peringkat umur
- Boleh dikesan pada usia 10 tahun

Antara kategori penyakit Kecelaruan Keresahan dan kemurungan

  • Kecelaruan keresahan umum
  • Kecelaruan sosial
  • Gangguan panik
  • Fobia khusus
  • Gangguan obsessive compulsive (OCD)
  • Gangguan tekanan pasca trauma (PTSD).
  • Tanda tekanan dan kesakitan fizikal, reaksi fiziologi terhadap tekanan

  • Ketegangan kepala
  • Migrain
  • Sakit perut
  • Tekanan darah meningkat
  • Tangan sejuk
  • Jantung berdebar
  • Tangan menggigil
  • Berpeluh kaki dan tangan
  • Keletihan yang amat sangat
  • Sesak nafas
  • Berita Harian X