Sabtu, 21 September 2019 | 10:00am
Partikel halus di udara boleh tingkatkan kecenderungan jangkitan pernafasan, saluran darah. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Jerebu punca jangkitan pernafasan jejas saluran darah

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kebanyakan kawasan di Semenanjung, selain di Sarawak melebihi 200 atau tidak sihat sejak lebih seminggu lalu dan sewajarnya semua pihak perlu mengambil langkah berwaspada.

Jerebu mengandungi partikel habuk, asap dan bahan pencemaran udara seperti sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon serta karbon monoksida.

Disebabkan saiz partikel yang halus, ia boleh masuk jauh ke dalam paru-paru, malah dalam sesetengah kes boleh memasuki salur darah.

Risiko paling tinggi ke atas kesihatan adalah apabila partikel bersaiz Bahan Zarah (PM) 2.5 yang boleh menembusi beg udara di dalam paru-paru apabila disedut.

Pendedahan jangka pendek kepada partikel ini selama beberapa jam atau hari, boleh memburukkan lagi penyakit paru-paru, menyebabkan serangan asma dan bronkitis akut secara tiba-tiba.

Selain itu, ia juga boleh meningkatkan kecenderungan kepada jangkitan pernafasan. Bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung, pendedahan jangka pendek dikaitkan dengan serangan jantung dan aritmia (gangguan irama jantung).  

Pendedahan jangka panjang pula dikaitkan dengan masalah seperti kemerosotan fungsi paru-paru dan perkembangan bronkitis kronik dan kematian pra matang.

Kesan jerebu

Kesan jerebu juga boleh dibahagikan kepada kesan lokal dan sistemik dengan kesan lokal boleh menyebabkan radang ke atas mata, hidung dan tekak.


Jerebu mengandungi partikel habuk, asap dan bahan pencemaran udara seperti sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon serta karbon monoksida.

Mereka yang menghidap atau pernah mengalami masalah sinus atau hidung sensitif, cenderung mengalami hidung tersumbat, sakit tekak dan batuk.

Masalah gatal kulit mungkin akan meningkat selain ekzema dan keadaan kulit lain. Kesan sistemik pula lebih serius, merangkumi keadaan pernafasan seperti serangan asma dan bronkitis sehingga memburukkan penyakit jantung termasuk serangan atau kegagalan jantung.

Terdapat juga pendapat pendedahan dalam tempoh jangka panjang kepada pencemaran udara boleh meningkatkan risiko kanser. Kesan kesihatan adalah lebih teruk ke atas golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit paru-paru, jantung dan diabetes.

Waspada penghidap asma, ibu hamil

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi, Datuk Dr Ahmad Shukri Md Salleh, berkata secara umumnya, jerebu tidak membawa maut tetapi boleh berlaku kematian disebabkan keadaan kesihatan sedia ada seperti asma, penghidap pulmonari obstruktif kronik, bayi dan wanita hamil.

Katanya, ramai tidak menyedari, partikel halus dari jerebu di udara luar boleh masuk ke dalam ruang tertutup seperti kereta, rumah atau pejabat melalui pendingin hawa kerana penapis sedia ada tidak mampu menapis partikel halus jerebu dengan berkesan.

“Penggunaan topeng muka perlu semasa berada di luar rumah termasuk ketika menunggang motosikal, malah ketika berada di dalam rumah kerana kajian menunjukkan kualiti udara dalam bangunan atau di rumah lebih teruk dari luar bergantung kepada persekitarannya,” katanya.

Gunakan topeng sesuai

Beliau berkata, individu yang mempunyai masalah jantung atau sistem pernafasan termasuk berisiko tinggi perlu menggunakan topeng apabila berada di luar.


N95 adalah topeng yang sesuai bagi menapis partikel halus di dalam jerebu. - Foto BERNAMA

Topeng respiratori seperti N95 direka untuk menghindarkan partikel halus seterusnya melindungi pemakai daripada bernafas di dalam jerebu.

“N95 adalah topeng yang sesuai bagi menapis partikel halus di dalam jerebu sebanyak 95 peratus dengan saiz sekecil 0.3 mikron.

“Namun penapis ini cepat tepu dan perlu dipakai buang. Topeng itu juga perlu ditukar apabila ia kotor atau bentuknya tidak sempurna lagi,” katanya.

Langkah lain perlu dilakukan adalah dengan membersihkan udara terutama udara dalam bangunan, minum air yang banyak terutama semasa hendak tidur dan selepas bangun tidur.

Perlu berjumpa doktor bagi rawatan simtomatik dan antibiotik sekiranya ada unsur jangkitan kuman bersama jerebu.


Pengaliran partikel udara apabila disedut

Info

Kesan jerebu dan pencemaran udara:

• Penyakit jantung

• Penyakit paru-paru (asma dan barah)

• Penyakit hidung, tekak dan telinga

• Penyakit buah pinggang

• Penyakit kulit

• Barah

• Resdung

Berita Harian X