Sabtu, 5 Oktober 2019 | 10:00am
NOORUNNSAH Jakkaria (kiri) . - Foto Salhani Ibrahim

Peka kesihatan diri bukan jaminan bebas kanser

AMALAN gaya hidup sihat seawal usia dengan menjalani pemantauan kesihatan setiap tahun selain menjalankan pemeriksaan sendiri payudara tidak menjamin sepenuhnya kepada beliau yang disahkan menghidap kanser payudara tahap dua.

Noorunnsah Jakkaria, 55, berkata walaupun peka kepada perubahan diri dan sering menjalankan pemeriksaan selepas mandi namun apabila disahkan menghidap kanser beliau terimanya dengan penuh reda.

Beliau berkata, setiap kali menjalani pemeriksaan status kesihatan begitu memuaskan selain menjaga pemakanan seimbang.

“Bagaimanapun semua amalan itu tidak menjaminnya sihat. Tiga tahun lalu, saya disahkan menghidap kanser tahap dua,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selepas berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, beliau mengakui agak leka dan terlepas membuat pemeriksaan.

“Dua tahun kemudian saya kembali ke hospital untuk membuat pemeriksaan dan hasil ujian biopsi doktor mengesahkan saya menghidap barah payudara.

“Pada awalnya saya terkejut menerima berita itu, sering bertanya kenapa saya yang kena? Kerana selama ini, saya seorang yang menjalani gaya hidup sihat menjaga pemakanan sihat dan tidak menjamah makanan diproses turut menjadi mangsa,” katanya.

Tiada genetik barah

Noorunnsah berkata, tiada seorang dalam keluarganya menghidap barah payudara. Ketika bekerja dulu, beliau terlalu sibuk menyebabkan tidak sempat melakukan aktiviti riadah. Akibat terlalu sibuk juga saya sering pulang lewat dan kurang tidur.

“Saya percaya gaya hidup sebegini antara punca awal mengundang penyakit ini,” katanya yang bimbang kehilangan payudara jika melakukan pembedahan.

Atas nasihat doktor, beliau dinasihat menjalani prosedur membuang semua ketulan, tumor dan isi payudara, selain pembedahan bina semula payudara atau reconstruction iaitu ‘Tram flap’.

Pembedahan mengembalikan bentuk asal payudara dilakukan dengan kaedah mengambil lemak, tisu dan kulit pada bahagian perut untuk diletak pada payudara.

“Pembedahan lapan jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan kos RM2,200, jauh lebih murah berbanding hospital swasta,” katanya yang kini dalam pemantauan payudara kanan.

Kini, dia tidak menjalani rawatan kemoterapi, sebaliknya makan ubat yang diberikan doktor bagi mengurangkan hormon estrogen setiap hari sepanjang tempoh lima tahun.

“Kesan pengambilan ubat itu mengurangkan hormon wanita dan menjadikan kulit kering. Selepas didiagnosis, tidak banyak perubahan namun saya yakin boleh sembuh dengan menjalankan senaman ringan.

“Saya menetapkan sekurang-kurangnya 40 minit setiap hari berjalan pantas di kawasan berhampiran kediaman untuk kekal sihat dan cergas,” katanya.

Berbekalkan pengalaman ini, Noorunnsah berkata, dia aktif berkongsi kisah suka duka bertarung nyawa melawan penyakit. Berdasarkan apa yang dilalui itu, beliau aktif memberi motivasi kepada pesakit, menasihatkan supaya wanita tidak mengabaikan pemeriksaan awal sebelum barah menjadi lebih teruk dengan menjalani pemeriksaan segera.

“Selepas didiagnosis saya kekal positif dan bergaul dengan mereka yang membawa aura positif. Pesakit barah digalak menyertai pertubuhan sosial bertujuan membolehkan pesakit mendapat maklumat daripada pesakit lain untuk dimanfaatkan bersama,” katanya.

Program sosial pesakit barah

Noorunnsah berkata, menyertai aktiviti menarik seperti bengkel menghasilkan coklat ‘DIY to Sweeten Your Pinktober’ anjuran jenama coklat terkenal, Harriston Chocolate bersama Breast Canser Foundation (BCF) memberi banyak kelebihan.

Beliau berkata, program memberi kebaikan kesan positif kepada pesakit. Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang diraikan setiap Oktober, Harriston Chocolate bekerjasama BCF menganjurkan bengkel mengadun ramuan coklat bagi menceriakan lebih 20 pesakit barah.

Pengarah Eksekutifnya, Queenie Teng, berkata menghasilkan rekaan bentuk coklat mengikut kreativiti antara rawatan teraputik buat peserta di kalangan pesakit barah payudara.

“Usaha ini membantu pesakit melupakan seketika penderitaan yang dialami apabila minda mereka bergerak secara produktif menghasilkan sesuatu yang kreatif.

“Aktiviti sebegini boleh memberi kesan menenangkan kerana selain merangsang minda, peserta meneroka emosi positif yang dapat menggembirakan diri,” katanya.

Berita Harian X