Sabtu, 19 Oktober 2019 | 10:26am
SUNWAY 19 SEPTEMBER 2019. Consultant Paediatric and Paediatric Respiratory Physician, Dr Norzila Mohamed Zainudin. NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA.

Atur jadual tidur bayi

AMALAN ‘sleep hygiene’ menerusi tabiat tidur yang baik membantu kanak-kanak mendapat kitaran tidur yang berkualiti. Amalan sejak usia kecil ini itu boleh membantu tumbesaran kanak-kanak secara fizikal dan mental.

Pakar Kanak-Kanak dan Perubatan Pernafasan, Pusat Perubatan Sunway, Dr Norzila Mohamed Zainudin, berkata ‘sleep hygiene’ adalah tabiat tidur baik yang patut diterapkan sejak usia bayi dan perlu diteruskan secara konsisten.

Katanya, fakta menunjukkan bayi akan tidur selama beberapa jam tetapi turut berjaga selama beberapa jam tanpa mengira masa dan hari.

“Ini kerana di peringkat usia ini, bayi belum boleh membezakan siang dan malam. Oleh itu, ini adalah masa sesuai ibu bapa memupuk jadual tidur anak sejak usia bayi,” katanya.

Beliau berkata, untuk memupuk sleep hygiene ini ialah meletakkan bayi di tempat cerah ketika siang dan gelap di waktu malam supaya bayi dapat membiasakan diri dalam suasana baharu.

Ini kerana bayi hanya dapat membezakan siang dan malam apabila menginjak usia empat bulan tetapi sebagai persediaan dan latihan dalam amalan tidur yang baik ini, ia disarankan diajar sejak awal kelahiran lagi.

“Bayi berusia kurang enam bulan, mereka tidak boleh tidur sepanjang malam tanpa makanan dan kerap terjaga. Ini adalah perkara biasa dan tidak dapat dielakkan.

“Cuma, saya bimbang melihat bayi yang semakin meningkat usia hanya tidur pada jam 10 malam sedangkan sepatutnya mereka sudah tidur pada jam 7 malam atau 8 malam ,” katanya.

Katanya, waktu tidur dan tempoh masa tidur seseorang adalah berbeza mengikut peringkat umur.

Bayi berusia empat hingga setahun mempunyai masa tidur antara 12 hingga 16 jam, usia satu dan dua tahun masa tidur mereka adalah antara 10 hingga 13 jam manakala pada usia enam hingga 12 tahun, waktu tidur adalah antara sembilan hingga 12 jam sehari.

Begitu juga dengan remaja berusia 13 hingga 18 tahun, jadual tidur mereka adalah antara lapan hingga 10 jam.

“Sleep hygiene adalah amalan yang dibuat sebelum waktu tidur . Bagi memupuk amalan ini, pelbagai tabiat sebelum tidur boleh dilakukan untuk mendapatkan tidur berkualiti.

“Ini kerana tidur berkualiti memberi kesan baik kepada tumbesaran kanak-kanak secara fizikal dan mental.

“Bagi yang sudah bersekolah, mereka dapat fokus pada pembelajaran tanpa rasa mengantuk dan letih kerana tidak cukup tidur,” katanya.

Antara kaedah lain yang boleh dilakukan bagi memupuk amalan ‘sleep hygiene’ bagi bayi adalah memandikan bayi, urut dan usap bayi dan beri makan beberapa jam sebelum waktu tidur yang dirancang, letakkan dalam katil bayi yang selesa.

Pastikan lampu dalam keadaan suram serta suhu bilik yang bertepatan antara 24 hingga 25 darjah Celcius.

Pada masa sama, tidur boleh dirangsang dengan keadaan bilik malap dan suram dan sediakan langsir malam dan siang untuk memupuk amalan ini.

“Jika di luar negara, amalan ini sudah lama dilaksanakan dan tabiat baik ini dipupuk pada usia bayi lagi.

“Ibu bapa akan menidurkan bayi dengan cara membaca buku dan berada di sebelah anak sebelum mereka tidur.

“Cuma di negara ini ia kurang dipraktikkan ibu bapa. Jadi, kita dapat lihat ramai anak tidak ada jadual tidur sendiri. Mereka tidur tidak kira masa dan kadang kala tidur kerap terganggu,” katanya.


SUNWAY 19 SEPTEMBER 2019. Consultant Paediatric and Paediatric Respiratory Physician, Dr Norzila Mohamed Zainudin. NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA.

Kata beliau, ibu bapa seharusnya mengelakkan gajet mahupun peranti elektronik seperti komputer atau telefon berada dekat dengan anak di dalam bilik.

Gajet seperti ini dapat merangsang otak untuk aktif. Apabila ada rangsangan, anak sukar tidur dan lebih bertenaga.

Tidak sepatutnya ada aktiviti fizikal dua hingga tiga jam sebelum tidur. Elakkan juga bermain komputer pada waktu ini

“Senaman atau aktiviti ini hanya merangsang hormon adrenalin. Jadi, anak sukar dapat tidur lena,” katanya.

Dr Norzila berkata, dari segi pemakanan, elakkan menjamah makanan tiga hingga empat jam sebelum tidur.

“Elakkan anak minum minuman bergas, makanan tidak terlalu berat. Sebaiknya ambil minuman berkhasiat seperti susu untuk merangsang anak tidur ,” katanya.

Apabila anak diajar amalan ‘sleep hygiene’, bukan saja mendapat tidur berkualiti, tetapi anak lebih sihat secara fizikal dan emosi.

“Amalan ini perlu dilakukan secara konsisten. Setiap hari pastikan anak mengikut jadual tidur.

Jika waktu tidur anak adalah pada jam 8 malam, paling lewat anak perlu masuk tidur adalah antara 20 minit saja dari jadual tidur mereka ,” katanya.

INFO: Panduan tidur lena

1. Sediakan bilik yang selesa dengan suhu sesuai.

2. Bilik menarik memupuk tabiat tidur berjadual.

3. Elakkan makan dan minum terlalu banyak sebelum tidur.

4. Elakkan anak bermain aktiviti fizikal yang aktif dua hingga tiga jam sebelum tidur.

5. Gajet tidak sesuai diletakkan di dalam bilik tidur

6. Sediakan cadar dan bantal selesa untuk anak.

Berita Harian X