Jumaat, 25 Oktober 2019 | 5:11pm
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar membuat pemeriksaan darah selepas merasmikan pelancaran 'Patchwork Terapi Expressive Art' terbesar untuk Malaysia Book of Records di Hospital Rehabilitasi, Cheras. - Foto Rosdan Wahid

Seni cantum tampal pemangkin terapi pemulihan pesakit

CHERAS: Aktiviti kraf seni sebahagian daripada terapi mengekalkan keseimbangan emosi dalam kalangan pesakit yang sedang menjalani proses pemulihan dan penyembuhan.

Menyedari perlunya aktiviti berkaitan, Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) mengambil inisiatif menganjurkan program terapi seni ekspresi menerusi kraf cantum tampal (patchwork) diterjemahkan pada karya “The Biggest Expressive Art Patchwork”

Pesakit, kakitangan hospital termasuk barisan pakar, doktor dan jururawat berpeluang menzahirkan kreativiti menghasilkan cantuman kain perca serta lukisan sepanjang 4.83 x 2.69 meter persegi, turut direkodkan dalam Malaysia Books of Record.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar, berkata seni ini diharap menjadi terapi terbaik ketika pesakit menjalani proses pemulihan selain rawatan biasa.

Beliau berkata, walaupun aktiviti sedemikian masih baharu di negara ini, namun dipercayai berupaya merawat, memulih dan memberi keseimbangan emosi pesakit.

“Pelbagai kempen kesedaran kesihatan dan kaunseling diadakan sempena bulan Kaunseling Kebangsaan bulan ini. Inisiatif ini sebahagian usaha memberi nilai ditambah kepada pesakit yang sedang menjalani rawatan.

“Ini membolehkan pesakit dan kakitangan mengambil bahagian menghasilkan seni kraf kreatif. Program berupaya menangani masalah gangguan emosi ketika menjalani rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran The Biggest Art Patchwork, anjuran “Pasukan Gerakan Kerja Patient As a Partner”, di sini.

Hadir sama, Pengarah Hospital Rehabilitisi Cheras, Dr Roslan Johari Datuk Mohd Ghazali dan Ketua Perkhidmatan Rehabilitasi Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM), Dr Yusniza Mohd Yusof.

Seni terapi ekspresi sudah diperkenalkan di Pusat Rehabilitasi Hospital Cheras sejak 2013 manakala karya “ The Biggest Exressive Art Patchwork” dihasilkan Mei tahun ini.

Terapi berkenaan membantu memulihkan semangat, menenangkan emosi serta menjadi medium meluahkan perasaan terutama ketika tertekan disebabkan penyakit seperti strok ataupun trauma kesan akibat kehilangan anggota disebabkan kemalangan.

Kamaruddin berkata, hampir 80 peratus karya dihasilkan pesakit di hospital berkenaan dan selebihnya diilhamkan kakitangan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Hospital Putrajaya.

“Seni kraf ini mempunyai nilai yang tinggi kerana dihasilkan ketika pesakit menjalani rawatan pemulihan, selain mempunyai elemen membantu proses penyembuhan.

“Karya dihasilkan menerusi kerjasama erat antara pesakit, doktor dan kakitangan hospital dalam membantu memulihkan keadaan pesakit menerusi aktiviti santai,” katanya.

Sementara itu, Dr Roslan, berkata pesakit menjadikan lukisan sebagai terapi meluahkan keresahan dan motivasi meneruskan hidup setelah hampir putus asa disebabkan penyakit selain kehilangan fungsi anggota tubuh atau menghidap strok.

Beliau berkata, pihaknya mengibaratkan setiap helaian perca kain sebagai harapan, doa dan luahan emosi pesakit yang menjalani program pemulihan di sini.

“Seni ini mengandungi unsur psikologi penuh makna bagi semua pengamal psikologi dalam meneroka harapan dan menyelami perasaan pesakit,” katanya.

“Hasil seni boleh dilihat di lobi hospital dengan paparan lukisan cat air, berus, pensil, warna dan pen. Ini simbolik sokongan hospital kepada pesakit dan waris dalam menjalani proses pemulihan fizikal dan kesejahteraan mental.

Berita Harian X