Rabu, 4 Disember 2019 | 1:26pm

Amat penting untuk memahami pelan perubatan dan kesihatan anda

Artikel ini adalah bahagian akhir daripada siri tiga artikel mengenai pelan perubatan dan kesihatan di Malaysia, yang merungkai permasalahan yang biasa dihadapi oleh pemegang polisi / peserta dan syarikat insurans / pengendali takaful semasa proses tuntutan.

Adalah satu mimpi buruk dalam situasi bila mana anda perlukan prosedur perubatan atau rawatan segera yang memerlukan kemasukan ke hospital. Anda menunggu dengan penuh gelisah, menantikan pengesahan jaminan pembayaran kos kemasukan hospital dari syarikat insurans atau pengendali takaful. Kemudian anda diberitahu bahawa syarikat insurans atau pengendali takaful tidak dapat memberikan jaminan pembayaran kos kemasukan anda ke hospital. Ianya amat mengelirukan. Tentunya anda akan kecewa dan sangat marah!

Pengalaman seperti ini akan memberikan gambaran bahawa syarikat insurans atau pengendali takaful cenderung untuk mengelak daripada membayar tuntutan. Sebaliknya, statistik menunjukkan bahawa syarikat insurans hayat dan pengendali takaful telah membayar tuntutan untuk pelan perubatan dan kesihatan sebanyak 5.3 juta kes pada tahun 2018. Ini mewakili 93.9 peratus dari tuntutan yang dikemukakan.

Jelaslah di sini, majoriti dari pemegang polisi/ peserta telah mendapatkan tuntutan seperti yang diharapkan. Persoalannya, mengapa ada tuntutan yang ditolak?

Ringkasnya, fahami pelan perubatan dan kesihatan anda, apa yang dilindungi dan apa yang dikecualikan. Jika terdapat sebarang keraguan, sila berhubung terus dengan syarikat insurans / pengendali takaful anda.

Pastikan anda mengisytiharkan mana-mana dan semua penyakit sedia ada dan rawatan masa lalu semasa permohonan dibuat untuk mengelakkan sebarang masalah timbul di kemudian hari. Anda juga disarankan untuk membuat rancangan lebih awal untuk kemasukan ke hospital bagi kes bukan kecemasan.

Akhir sekali, pastikan anda mengemaskini pelan perlindungan perubatan dan kesihatan anda. Syarikat insurans/ pengendali takaful akan sentiasa mempertingkatkan perlindungan setiap beberapa tahun dengan menawarkan penambahbaikan atau peruntukan baru.

Ingatlah, pihak syarikat insurans dan pengendali takaful sentiasa cuba memenuhi tuntutan yang diterima dan memberi khidmat pelanggan yang memuaskan demi reputasi mereka. Reputasi yang baik adalah aset yang penting bagi mereka.

Tips untuk kemasukan ke hospital

• Dapatkan kelulusan awal beberapa hari sebelum kemasukan ke hospital untuk situasi bukan kecemasan dan situasi yang dapat dijangkakan. Ini akan membantu menjimatkan masa dan mengelak dari sebarang masalah kemasukan di hospital.

• Dapatkan kepastian daripada doktor anda jika anda perlu tinggal di wad hospital. Dapatkan maklumat sama ada rawatan sebagai pesakit luar atau pembedahan sehari sudah memadai.

• Fahami maklumat prosedur yang dicadangkan oleh doktor anda dan dapatkan kepastian yang ianya diperlukan secara perubatan.

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X