Ahad, 12 Januari 2020 | 11:35am

Vaksin influenza terbukti hindari komplikasi demam selesema, selamatkan nyawa

KUALA LUMPUR: Ramai kurang sedar mengenai pentingnya pengambilan vaksin influenza setiap tahun yang terbukti berkesan menghindar virus berkenaan yang boleh membawa komplikasi kesihatan hingga meragut nyawa.

Suntikan vaksin influenza secara berkala dengan kekerapan sekali setahun mencukupi bertujuan meningkatkan sistem imun badan terutama bagi golongan berisiko.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, berkata individu berisiko mengalami jangkitan virus terutama kanak-kanak berusia bawah lima tahun, orang tua berusia 65 tahun ke atas, wanita hamil dan pesakit kronik.

Beliau berkata, pesakit kronik perlukan vaksin memandangkan sistem imun mereka rendah, mudah diserang penyakit terutama dalam kalangan penghidap kanser, kencing manis, darah tinggi dan masalah sistem pernafasan.

“Vaksin influenza sebagai senjata terbaik mencegah penyakit dan perlindungan awal bagi mengelak gangguan kesihatan lebih serius,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Nor Hisham Abdullah dalam kenyataannya sebagai memetik, kes jangkitan influenza yang direkodkan berada dalam julat normal dan hampir sama tahun sebelumnya.

Senario itu tidak boleh dijadikan alasan untuk orang ramai tidak mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan. Virus menyerang sepanjang tahun sentiasa mencari mangsanya.

Vaksin perlindungan terbaik

Dr Mohd Feizel Alsiddiq yang juga Pensyarah Kehormat Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, berkata ramai beranggapan pengambilan vaksin hanya perlu jika hendak ke luar negara, tanpa memikirkan virus berkenaan berada di mana-mana sahaja.

“Tidak salah mengambil vaksin walaupun tidak ke mana-mana, ini sebagai perlindungan mengelak jangkitan,” katanya.

Menyedari pentingnya pencegahan awal, beliau menasihatkan ibu bapa sentiasa peka perubahan anak masing-masing. Jika anak menunjukkan gejala seperti deman, selesema, batuk dan bersin berpanjangan jangan bawa mereka di tempat awam.

Beliau berkata, usah biarkan anak ke sekolah atau elak meletakkan mereka di pusat penjagaan kanak-kanak kerana dikhuatiri keadaan bersesak-sesak menyebabkan virus cepat merebak hingga memudaratkan kumpulan lebih besar.

Kegagalan mendapat rawatan kesan virus influenza boleh menyebabkan anak berhadapan risiko antaranya Pneumonia, bronchitis dan radang otak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kajiannya baru-baru ini, mendapati sekitar 600 juta masyarakat di dunia berhadapan risiko influenza setiap tahun. Kadar kematian berkaitan influenza dianggarkan mencapai 400,000 setahun.

Dr Mohd Feizel Alsiddiq berkata, kekerapan setiap tahun perlu kerana vaksin berkenaan hanya boleh tertahan dalam tempoh itu dan perlu diambil untuk tahun seterusnya bagi mengekalkan sistem imun badan daripada penyakit.

DR Mohd Feizel memeriksa pesakit Nur Zahra Amani Nor Mohammad, 6, di Klinik Kanak-Kanak Prince Court Medical Centre. - Foto Mustaffa Kamal
DR Mohd Feizel memeriksa pesakit Nur Zahra Amani Nor Mohammad, 6, di Klinik Kanak-Kanak Prince Court Medical Centre. - Foto Mustaffa Kamal

Virus berubah setiap tahun

Selain itu juga, beliau berkata, virus influenza berubah setiap tahun yang lazimnya Influenza A mahupun Influenza B.

Setiap tahun WHO mengeluarkan cadangan kepada pengeluar farmaseutikal mengenai jenis vaksin yang perlu dihasilkan berdasarkan penyelidikan pakar mengenai jenis virus yang dijangkakan menyerang pada tahun berkenaan.

Berdasarkan hasil kajian sejak sekian lama di seluruh dunia, pengeluar vaksin hanya akan menghasilkan vaksin influenza mengikut ketetapan WHO mengikut keperluan semasa.

Influenza menyerang terutama pada musim sejuk iaitu November hingga Mac di hemisfera Utara, April hingga September di negara hemisfera selatan.

Namun di kawasan Tropika seperti Malaysia, influenza boleh berlaku pada bila-bila masa. Bagi keperluan penduduk di negara ini, pakar menyarankan sebaiknya mereka mengambil vaksin influenza seperti diambil penduduk di negara hemisfera utara.

Berkongsi pengetahun prosedur mengeluarkan vaksin, Dr Mohd Feizel Alsiddiq berkata, bekalan vaksin influenza untuk kegunaan penduduk di hemisfera utara, lazimnya disediakan seawal September hingga Oktober tahun yang sama, manakala bagi penduduk di hemisfera selatan terutama di Australia dan New Zealand pula, vaksin sama disediakan sekitar Mac hingga April sebelum kemuncak musim sejuk bagi negara negara berkenaan.

Fakta:

* Virus merebak menerusi sentuhan, rembesan cecair dari hidung.

* Jangkitan kepada salur pernafasan termasuk hidung, tekak dan paru-paru.

* Jangkitan dengan gejala seperti demam, selesema atau flu, sakit tekak, batuk dan sakit kepala,

* Pesakit mengalami sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

* Penularan mudah berlaku di tempat padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan serta kem tentera

* Wabak disebabkan virus influenza bermusim menyebabkan demam selesema ringan pada orang biasa

Rawatan

* Minum air secukupnya

* Jumpa doktor jika demam berlarutan

* Elak ke tempat tumpuan ramai

* Guna penutup muka di tempat awam

* Tutup hidung dan mulut ketika batuk dan bersin

* Elak berkongsi peralatan peribadi seperti tuala dan sapu tangan.

* Kerap basuh tangan menggunakan sabun

* Ubatan demam selain paracetamol seperti non-steroidal anti inflammatory drugs (NSAID) tidak digalakkan.

* Kajian di Jepun membuktikan penggunaan NSAID ketika jangkitan influeza berisiko meningkatkan kadar kematian akibat encephalitis (jangkitan otak)

Prosedur mengesan influenza

* Jangkitan disahkan melalui sampel cecair hidung (nasal swab).

* Ujian saringan tidak 100 peratus tepat.

* 20 - 30 peratus pesakit masih didapati negatif.

* Keputusan tepat perlu menjalani ujian nasal swab viral Polymerase chain reaction

DR Mohd Feizel menunjukkan vaksin bagi mencegah influenza. - Foto Mustaffa Kamal
DR Mohd Feizel menunjukkan vaksin bagi mencegah influenza. - Foto Mustaffa Kamal

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X