Sabtu, 18 Januari 2020 | 10:30am
Suntikan elak jangkitan lebih teruk pada wanita, bayi. - Gambar hiasan
Suntikan elak jangkitan lebih teruk pada wanita, bayi. - Gambar hiasan

Vaksin influenza elak jangkitan pada ibu hamil, bayi

Sejak dua minggu lalu, jangkitan virus influenza rancak dibicarakan sehingga dipercayai menyebabkan ramai kanak-kanak dimasukkan ke hospital dan lebih mengejutkan beberapa buah sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup kerana dibimbangi penularan yang lebih serius.

Golongan berisiko terutama warga emas, kanak-kanak, pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan asma, digalakkan mendapatkan suntikan pelalian vaksin influenza bermusim di fasiliti bagi mengelakkan jangkitan virus yang boleh membawa maut.

Tidak terkecuali wanita hamil bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi dalam keadaan selamat.

Gangguan hipertensif kehamilan atau hypertensive disorders of pregnancy (HDP) antara masalah paling lazim dihidapi ketika hamil.

Justeru, wanita hamil juga perlu sedar jangkitan virus influenza juga membahayakan kesihatan.

Situasi itu disebabkan perubahan fisiologi wanita hamil sehingga dua minggu selepas bersalin berlaku perubahan pada sistem imun, ketahanan badan, jantung, dan paru-paru menjadikan wanita hamil lebih senang terkena komplikasi serius daripada influenza.

Lebih membimbangkan, jika tidak dirawat bayi dalam kandungan turut menerima komplikasi buruk.

Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, berkata suntikan vaksin influenza kepada ibu hamil bukan sahaja melindungi dirinya, bahkan juga anak dalam kandungan.

Katanya, antibodi ibu akan turun kepada bayi sekali gus membantu melindunginya untuk beberapa bulan pertama selepas dilahirkan.

Ibu hamil seharusnya mendapatkan suntikan vaksin dan bukan dalam bentuk semburan pada hidung (nasal spray).

''Kajian pemberian vaksin influenza pada 2018 dapat mengurangkan 50 peratus kompilasi jangkitan virus itu dan paru-paru.

“Malah, ia juga dapat mengurangkan 40 peratus kadar ibu hamil dimasukkan ke wad,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Izzat menjelaskan, vaksin influenza diberikan kepada berjuta ibu hamil untuk sejak bertahun-tahun lalu dengan rekod keselamatan yang baik.

Katanya, banyak kajian menunjukkan vaksin influenza selamat diberikan kepada ibu mengandung dalam semua peringkat kehamilan.

"Selain vaksin, beberapa langkah pencegahan am turut disarankan untuk mengelakkan penularan influenza seperti menutup mulut ketika bersin dan batuk, mencuci tangan dan menjaga kebersihan lain.

"Susu ibu mempunyai banyak manfaat antaranya dapat melindungi bayi daripada jangkitan," katanya.

Dr Muhammad Izzat berkata, gejala influenza dikesan seperti demam, batuk, hidung berhingus, sakit badan, pening kepala, menggigil dan berasa lemah

Sesetengah pesakit mengalami muntah dan cirit-birit yang biasanya dialami kanak-kanak.

"Bagi ibu hamil seharusnya dimulakan secepat mungkin suntikan vaksin yang boleh diambil dalam lingkungan 48 jam selepas gejala bermula.

"Mengambil ubat antivirus dapat mengelakkan jangkitan influenza menjadi lebih teruk.

Dr Muhammad Izzat juga berkata, vaksin influenza bukan sahaja wanita hamil disarankan pengambilan, malah juga bayi dan kanak-kanak. bayi dan warga emas melebih usia 65 tahun, individu dengan masalah kesihatan seperti asma, masalah paru-paru kronik, masalah jantung serta individu yang selalu berjumpa dan terdedah dengan orang ramai dan kakitangan kesihatan

Info:

* 3 jenis virus influenza

* Influenza A,B dan C.

* Ketiga-tiga ini boleh menjangkiti manusia.

* Virus influenza A adalah paling berbahaya kerana boleh menjangkiti

haiwan dan manusia.

* Virus influenza A boleh menjalani mutasi (perubahan genetik)

dan menghasilkan virus influenza jenis baru yang lebih berbahaya.

* Kesannya akan mencetuskan kejadian epidemik dan pandemik influenza.

* Virus influenza tersebar melalui titisan cecair dari mulut dan hidung ketika bercakap, bersin atau batuk.

* Boleh masuk ke dalam badan melalui saluran pernafasan.

Mitos influenza ibu hamil

1) Suntikan vaksin influenza berbahaya untuk bayi

- Vaksin influenza mempunyai rekod keselamatan yang bagus.

- Tiada risiko bahaya pada ibu hamil dan bayi.

- Kajian mendapati ibu mengandung mendapat jangkitan influenza, berpotensi mendapat komplikasi teruk seperti bronchitis dan pneuomnia - Jangkitan telinga, sepsis, meningitis dan encephalitis (jangkitan pada otak)

2) Tempoh tertentu kehamilan suntikan vaksin.

- Kajian menunjukkan vaksin influenza selamat disuntik pada bila-bila masa peringkat kehamilan.

- Tidak kisah sama ada terlalu awal atau kehamilan sudah besar, termasuklah ketika hampir tempoh bersalin.

3) Hanya selesema dan boleh baik sendiri

- Selesema yang disebabkan oleh influenza ni sangat mudah berjangkit melalui batuk. Lebih merbahaya apabila terdedah dengan persekitaran tidak sihat seperti bersin.

- Simptom influenza seperti demam, sakit-sakit badan, sakit sendi dan penat melampau.

- Selesema disebabkan influenza boleh mengakibatkan kesan teruk kepada orang mengandung.

- Dalam keadaan tertentu, jangkitan influenza jarang menyebabkan keguguran, bayi lahir pra-matang dan bayi bersaiz kecil daripada biasa.

4) Lepas suntik dapat sakit

- Vaksin influenza mengandungi jenis virus yang dilemahkan atau virus yang dibunuh.

5) Suntik selamat

- Virus menyebabkan influenza berubah-ubah setiap tahun. Ini bermakna virus yang menyebabkan influenza berbeza pada setiap tahun.

- Disaran mengambil vaksin influenza setiap tahun.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X