Sabtu, 15 Februari 2020 | 2:46pm
Perubahan gaya hidup moden, pemakanan, persekitaran dan jarang bersenam faktor peningkatan kanser. - Foto hiasan
Perubahan gaya hidup moden, pemakanan, persekitaran dan jarang bersenam faktor peningkatan kanser. - Foto hiasan

Kanser bagaikan bom jangka

DULU jarang didengar masyarakat mendapat kanser tertentu, tetapi sekarang pelbagai jenis kanser dilaporkan dideritai pesakit sehingga membawa maut.

Laporan ‘Malaysian Study on Cancer Survival‘ (MySCan) dijalankan Institut Kanser Negara (IKN), sehingga Oktober 2018, mendedahkan kadar kelangsungan hidup sehingga tempoh lima tahun bagi penghidap kanser payudara, umpamanya di negara ini adalah 66.8 peratus, berbanding 92 peratus di Korea Selatan dan 83 peratus di Singapura.

Keadaan itu dipengaruhi kecenderungan kebanyakan golongan berpendapatan rendah (B40) yang hanya mendapatkan rawatan apabila sudah berada pada tahap tiga dan empat ekoran kekangan kewangan.

Semuanya kerana mereka belum mempunyai kesedaran mengenai penyakit, stigma budaya terhadap penyakit serta gemar bersikap tunggu dan lihat tanpa menjalani pemeriksaan awal antara sebab lain penghidap kanser lewat mendapatkan rawatan.

Secara purata, negara berdepan dengan sekurang-kurangnya 4,000 kes baru kanser payudara setiap tahun dengan kaum Cina satu nisbah 14, India (1: 16) dan Melayu (1:24) berdasarkan laporan MySCan yang sama.

Pakar Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Dr Muhd Nik Aslan Abdullah, berkata kadar kesembuhan mempunyai perkaitan langsung dengan tahap kanser dikesan, iaitu peluang tinggi sembuh jika pesakit mendapatkan rawatan segera berbanding menjangkaui peringkat kritikal.

"Ini kerana kanser tahap awal seperti tahap satu dan dua mempunyai peluang tinggi disembuhkan berbanding dengan tahap tiga dan empat.

"Laporan terkini statistik 2012-2016 menunjukan peningkatan kes kanser adalah tahap tiga dan empat, sekali gus menunjukkan pengurangan kes kanser tahap satu dan dua," katanya.

Statistik terkini laporan Malaysia National Cancer Registry Report 2012 hingga 2016 (MNCRR), mendapati ada peningkatan bilangan kes baharu kanser dikesan dalam tempoh lima tahun bermula 2012 hingga 2016 iaitu 115, 238 kes berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Sebanyak 10 jenis kanser tertinggi dikesan dihidapi rakyat negara ini bagi tempoh 2012 hingga 2016 ialah payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari.

Peningkatan bilangan kes itu diukur dengan kadar insiden sebanyak 86 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 populasi perempuan.

Ramai masih percaya rawatan alternatif

Dr Nik Muhd Aslan.
Dr Nik Muhd Aslan.

Dr Nik Muhd Aslan berkata, secara keseluruhan faktor itu akan membuatkan kadar kelangsungan hidup merosot berbanding negara lain.

"Jika diteliti lebih mendalam, kes kanser tahap tiga dan empat bagi kanser payudara dan kolorektal di negara maju jauh lebih kurang dari apa yang dilihat di Malaysia, ia sekali gus menyumbangkan kepada kadar hidup yang lebih tinggi di negara maju," katanya.

Kaedah berkesan meningkatkan kadar penyembuhan daripada menderitai kanser adalah meningkatkan program kesedaran mengenai tanda-tanda kanser, risiko, keperluan menjalani ujian saringan dan rawatan awal.

"Berdasarkan pengalaman saya, masyarakat negara ini masih ramai mempercayai rawatan alternatif berbanding perubatan moden.

"Ada di antara mereka mungkin dikesan pada peringkat awal tetapi menangguhkan rawatan bagi mencuba rawatan alternatif. Sehinggalah rawatan alternatif tidak berhasil, keadaan pesakit sudah berada di tahap tiga atau empat, mereka baru mendatangi semula ke hospital bagi tujuan rawatan," katanya.

Beliau berkata, bagi kebanyakan pesakit tahap empat, peluang mereka sembuh sepenuhnya atau dalam erti kata bebas daripada kanser selama-lamanya adalah tipis.

"Rawatan kanser tahap empat lebih untuk mengawal simptom supaya pesakit tidak terlalu sengsara atau kesakitan selain mengharapkannya supaya berjuang hayat lebih lama.

"Bagaimanapun, terdapat kes tertentu di mana dengan rawatan sesuai, pesakit masih mempunyai peluang sembuh," katanya.

Punca peningkatan kes

Mengenai peningkatan bilangan pesakit kanser itu, Dr Nik Muhd Aslan berkata, ianya berkait rapat dengan gaya hidup moden seiring kemajuan negara yang semakin maju.

"Sebagai contoh, gaya pemakanan masyarakat moden hari ini lebih terarah kepada pengambilan makanan yang berlemak tinggi, banyak daging, tetapi kurang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Kesibukan kerja, akses pengangkutan mudah menjadikan mereka kurang bersenam, selain pemakanan tidak sihat mengakibatkan masalah obesiti.

“Faktor pencemaran udara dan air juga memainkan peranan penting,” katanya.

Bagi golongan lelaki pula, ramai menghidap kanser paru-paru dan prostat yang berkait rapat dengan gaya hidup mereka.

"Kanser paru-paru itu berpunca daripada tabiat merokok dan kebanyakan perokok adalah lelaki.

"Kesan tabiat buruk merokok terhadap paru-paru tidak berlaku cepat, tetapi mengambil masa bertahun-tahun merosakkan paru-paru dan menimbulkan kanser.

"Bagaimanapun kanser paru-paru ini tidak dideritai lelaki, kerana gaya hidup hari ini memperlihatkan ramai perokok wanita dan aliran ini amat membimbangkan, berikutan statistik menunjukkan peningkatan kanser paru-paru dalam kalangan wanita," katanya.

Bagi kanser prostat, beliau berkata, ia adalah kanser khusus kepada lelaki dan kanser pada usia tua.

"Kebanyakan penghidapnya dikesan menderitai kanser prostat bermula pada usia 55 tahun ke atas dan makin meningkat apabila semakin berusia.

"Jangka hayat lelaki semakin panjang membuatkan lebih banyak kanser prostat dikesan. Jika dibandingkan 20 tahun lalu, hayat lelaki tidak sepanjang sekarang dan mereka tidak sempat hidup lama untuk mendapat kanser prostat," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X