Sabtu, 22 Februari 2020 | 1:47pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Rokok ancaman di tempat kerja

‘GANGGUAN dalam diam!’. Begitulah isu rokok di tempat kerja khususnya dalam bangunan pejabat yang sehingga hari ini masih belum menemui penyelesaian muktamad.

Ramai terpaksa menghidu bau busuk asap rokok, mungkin ada tersedut asap yang me­­ngandungi bahan kimia.

Asap rokok yang terperangkap dalam persekitaran tertutup boleh mencemarkan kualiti udara dalaman sesebuah bangunan dan menimbulkan masalah kesihatan.

Dalam ruang tertutup, sudah tentu sukar untuk membersihkan asap rokok selain baunya melekat pada dinding, kerusi, sofa dan langsir sukar dile­nyapkan.

Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD), Dr Shawaludin Husin, berkata asap rokok boleh berada dalam ruang udara sesebuah bangunan termasuk tempat kerja selama kira-kira dua jam atau lebih walaupun tingkap dibuka.

“Tidak kira merokok di dalam bilik, tandas, tangga atau di mana-mana ruang di tempat kerja, asap rokok tetap berlegar dan memberi kesan kepada orang yang ada di dalam bangunan.

“Asap rokok menghasilkan pencemaran udara dalaman yang tinggi de­ngan 300 jenis gas toksik. Meskipun tidak melihat asap atau tidak lagi menghidu baunya, namun belum tentu bebas daripada bahaya apabila berada di kawasan merokok.

“Keadaan bertambah buruk apabila asap rokok bercampur dengan bahan pencemar udara lain disebabkan sistem pengudaraan termasuk penghawa dingin tidak diselenggara dengan baik,”katanya.

Risiko kepada perokok pasif

Dianggarkan kira-kira empat daripada 10 orang di Malaysia yang beker­ja di dalam bangunan terdedah kepada asap rokok basi (sekunder) yang terhasil daripada produk hasil pembakaran tembakau seperti rokok, cerut dan paip.

Paling membimbangkan pencemaran udara akibat asap rokok di tempat kerja turut memberi kesan kepada bukan perokok (perokok pasif).

Ini termasuk ibu mengandung, golongan berusia, mereka yang alah terhadap bau rokok, kanak-kanak dan individu mempunyai sistem imuniti lemah.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), berkata asap rokok yang disedut oleh individu tidak merokok memberi ancaman lebih tinggi berbanding kepada perokok sendiri.

Ibu mengandung berisiko keguguran atau melahirkan anak yang tidak cukup bulan.

“Kanak-kanak pula be­risiko mengalami sindrom kematian mengejut, pe­­nyakit pernafasan seperti bronchitis, bronchiolitis dan radang paru-paru, meningitis, kesukaran pembelajaran, kelewatan tumbesaran dan masalah neurobehavioral, mati pucuk, jangkitan telinga (otitis media) serta alahan, batuk dan selesema,”katanya.

Kesan merokok

Rokok mengandungi ribuan bahan kimia berbahaya dan terbukti secara saintifik, antaranya ‘tar’ bersifat karsinogenik be­risiko menyumbang kepada kanser paru-paru.

Tar boleh meningkatkan risiko diabetes, penyakit jantung, masalah kesuburan dan boleh meng­akibatkan kanser mulut serta masalah gusi.

Kandungan lain seperti karbon monoksida, nikotin, hidrogen sianida, benzena, formaldehida, arsenik, amonia, plumbum, butana, asid asetik pula boleh mengundang pelbagai jenis kanser termasuk buah pinggang, hati, pundi kencing, penyakit kardiovaskular, strok, penyakit berkaitan pernafasan, penyakit kulit serta pelbagai lagi.

Dr Shawaludin turut berkongsi pendedahan pekerja terhadap persekitaran tempat kerja yang tidak sihat boleh mengundang kepada gejala Sick Building Syndrome (SBS).

Katanya, SBS membabitkan individu di dalam bangunan mengalami simptom dan rasa tidak selesa tanpa sebab yang jelas.

Boleh jadi mereka juga secara tiba-tiba rasa tidak selesa apabila memasuki pejabat sedangkan sebe­lumnya mereka baik-baik sahaja.

“Asap rokok adalah bahan pencemar yang menyumbang kepada SBS. Beberapa kajian dijalankan mendapati SBS berisiko membawa kepada gejala seperti sakit kepala, selsema, sakit tekak, kerengsaan pada mata dan kulit dan kekejangan,”katanya.

Mudah sakit

Ditanya keadaaan pero­kok aktif yang lazimnya dikesan mengalami gejala batuk berkahak, kurang bertenaga, penurunan berat badan serta beberapa gejala lain beliau berkata ia berkait rapat dengan sistem imunisasi mereka.

“Jangkitan kuman Mycobacterium tuberculosis (kuman tibi) berisiko kepada mereka yang mempunyai sistem imuniti lemah sebagai contoh penghidap HIV/AIDS serta pesakit kencing manis yang sistem imun mereka terjejas (immunocompromised).

“Ini secara langsung turut menjelaskan bagaimana penyakit tibi boleh berlaku kepada perokok. Sistem imuniti yang lemah serta paru-paru rosak, jadi mudahlah kuman tibi ‘hinggap’ dan membiak sekali gus menjadikan perokok golongan yang berisiko tinggi mendapat penyakit tibi,” katanya.

Majikan boleh mengambil tindakan tegas terhadap pekerja yang mencemarkan kualiti udara dalaman tempat kerja kerana boleh mendatangkan kesan buruk kepada pekerja lain.

Melalui Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA), Dr Shawaludin berkata majikan bertanggungjawab memastikan persekitaran tempat kerja selamat dan sihat, selain aktiviti kerja seperti bahan kimia, bunyi bising dan pekerja yang membawa unsur tidak sihat. - BERNAMA

Berita Harian X