Sabtu, 29 Februari 2020 | 10:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Ramai orang muda sakit jantung

Banyak kes kematian mengejut disebabkan serangan jantung termasuk membabitkan figura terkenal, atlet, selebriti dan orang terdekat seolah-olah ia menjadi penyakit lazim.

Lebih mengejutkan, pemergian yang tidak disangka-sangka, ada yang mati ketika sedang tidur atau bersukan.

Berdasarkan Pangkalan Data Kardiovaskular Kebangsaan 2014 dan 2015, menunjukkan kira-kira satu dalam empat pesakit menghidap masalah jantung berusia bawah 50 tahun.

Dengan itu umur purata pesakit di Malaysia adalah 58.5 tahun, lebih muda berbanding Thailand (63.5 tahun) dan 68 tahun di Singapura mengalami serangan sakit jantung atau dalam istilah perubatannya ‘Acute Coronary Syndrome’ (ACS) iaitu salah satu penyakit utama yang menyebabkan kematian di negara ini.

Ramai pesakit muda

Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Zul Hilmi Yaakob, berkata dalam pangkalan data yang dikemas kini 2018, terdapat kira-kira 17,771 pesakit ACS, memperlihatkan kepentingan orang muda untuk menjalani gaya hidup sihat bagi mengelakkan risiko serangan jantung.

Katanya, daripada jumlah itu kira-kira 80 peratus adalah lelaki berusia di bawah 50 tahun dengan 55 peratus daripadanya adalah perokok tegar.

Sementara bagi wanita cenderung berdepan masalah jantung selepas mereka melepasi menopaus.

"Hal ini berkait gaya hidup pasif dan pemakanan yang tidak dijaga, selain banyak dipengaruhi tabiat merokok, komplikasi kesihatan seperti kencing manis, tinggi kolesterol dan kegemukan yang memberi kesan apabila ramai mengalami kesempitan salur darah di jantung mengakibatkan banyak plak terkumpul dan membentuk atherosclerosis.

"Justeru, ini menyumbang kepada peningkatan bilangan pesakit muda menderita masalah jantung tanpa disedari tambahan mereka tidak menjangkakan risikonya berikutan masih berusia 30 tahun dan ke atas," katanya kepada BH.

Amalkan gaya hidup sihat

Katanya, pesakit perlu mempunyai pengetahuan mengenai gejala atau simptom berkaitan serangan jantung kerana ia boleh berlaku pada sesiapa saja.

Ini berikutan ramai tidak mengambil berat dengan pemakanan dan pemeriksaan kesihatan jantung kerana merasakan mereka tiada risiko.

"Sepatutnya mereka mempraktikkan kembali gaya hidup sihat, senaman berkala, menjaga pemakanan dan segera melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun.

“Kelewatan itu mendedahkan kepada risiko kematian.

"Kebiasaan pesakit akan mengadu sakit dada di bahagian tengah, rasa seperti ditekan, berat dan ketat. Mereka mengalami masalah kesukaran bernafas, berpeluh dan lenguh bahagian tangan kiri,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun ada juga kes serangan melibatkan sakit atas perut yang selalu dikelirukan dengan penyakit gastrik dan kadang-kadang rasa dicekik di leher, ada juga tetapi tidak berapa biasa," katanya.

Kecenderungan bersenam pada lewat malam, menghadapi tekanan bukan penyebab utama serangan jantung tetapi adalah disebabkan pembentukan plak atherosclerosis hingga mengakibatkan jantung tidak dapat menerima bekalan oksigen yang mencukupi.

"Dalam kalangan pakar, faktor sukan ekstrem masih menjadi perdebatan sama ada ia punca kematian mengejut yang dialami ramai orang, perkara itu masih memerlukan banyak data kerana serangan jantung disebabkan penyempitan saluran darah itu, kerana kebanyakaan pesakit adalah perokok tegar.

"Besar kemungkinan serangan jantung disebabkan plak di salur darah pecah bukan kerana mereka bersukan secara ekstrem atau melakukannya pada waktu malam ," katanya.

Dalam pada itu, kata Dr Zul Hilmi, antara rawatan pencegahan yang dilakukan untuk pesakit jantung adalah pengambilan ubat-ubatan untuk seumur hidup, rawatan revaskularisasi, angioplasti serta pembedahan pintasan jantung.

"Jika di peringkat awal prosedur koronari angiogram dan angioplasti mungkin boleh menyelamatkan nyawa iaitu memasukkan ‘stent’ supaya berusaha mengelakkan salur darah menyempit semula," katanya.

Info: Pencegahan serangan jantung

  • Hindari rokok dan jika ada simptom rujuk kepada pakar.
  • Melakukan rutin pemeriksaan setahun sekali untuk memeriksa kesihatan jantung dan melakukan ujian khusus untuk jantung.
  • Mengenai tekanan, sukar untuk memastikan punca serangan kerana kadar stres tidak boleh diukur atau dibaca.
  • Berita Harian X