Isnin, 9 March 2020 | 1:50pm
.BARAH kolorektal kerap berlaku dalam kalangan lelaki, berbanding wanita - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR.
.BARAH kolorektal kerap berlaku dalam kalangan lelaki, berbanding wanita - Foto hiasan NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Kanser kolorektal yang kedua kerap berlaku

KUALA LUMPUR: Kanser kolorektal muncul sebagai yang kedua paling kerap berlaku di negara ini, selepas kanser payudara dengan kira-kira 70 peratus pesakit dikesan pada tahap lewat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan kekerapan barah kolorektal direkodkan sebanyak 13.5 peratus, selepas kanser payudara (19 peratus).

Beliau berkata, kanser kolorektal dikesan kerap berlaku dalam kalangan lelaki yang mewakili 16.9 peratus, berbanding wanita (10.7 peratus).

Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 juga melaporkan pesakit barah kolorektal dikesan berada pada tahap 3 serta 4, masing-masing 72.4 peratus dalam kalangan lelaki, manakala wanita (73.1 peratus).

“Kanser kolorektal boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat serta pengesanan awal melalui ujian saringan, selain amalan gaya hidup sedentari, tidak aktif dan kurang pengambilan serat, sayur dan buah kerap dikaitkan sebagai antara faktor meningkatkan risiko.

“Risiko kanser kolorektal juga meningkat dengan pertambahan usia, pernah disahkan mempunyai kolon polip, menghidap radang usus dan mempunyai sejarah keluarga disahkan menghidap kanser berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan kanser kolorektal percuma menggunakan ‘immunological Feacal Occult Blood Test’ (iFOBT) di klinik kesihatan, disusuli ujian kolonoskopi di hospital.

Selain itu, katanya, mengenali tanda dan gejala awal kanser kolorektal seperti najis berdarah, perubahan pola pembuangan najis (sembelit berselang dengan cirit) dan sakit perut berpanjangan adalah penting.

Letih dan hilang berat badan juga tanda amaran kanser dengan gejala itu mungkin tidak wujud pada peringkat awal.

“Pengesanan awal amat penting dan peluang untuk kanser dirawat dengan baik semakin berkurang sekiranya lewat dikesan.

“Orang ramai dinasihat supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat bagi mencegah kanser kolorektal. Jalani ujian saringan jika tidak mempunyai tanda dan gejala serta berusia antara 50 hingga 75 tahun,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X