Sabtu, 14 March 2020 | 11:30am

Penyakit lama zoonosis, dalam bentuk COVID-19

Penyakit COVID-19 (sejenis penyakit zoonosis) mempunyai kadar infeksi dan gejala berbeza, malah ada pesakit yang tiada simptom atau gejala terutama pada individu sihat atau semasa awal jangkitan tetapi berupaya menyebarkan virus kepada individu lain, seterusnya menularkan penyakit secara berleluasa. 

Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata sebenarnya COVID-19 ini adalah penyakit zoonosis atau zoonotik, iaitu penyakit yang boleh berjangkit daripada haiwan vertebrat kepada manusia.

Katanya, haiwan seperti kucing dan anjing, ternakan seperti khinzir, lembu dan kambing serta hidupan liar di kawasan penempatan, pertanian, rekreasi dan hutan seperti kelawar; ular, dan monyet berupaya membawa penyakit dan menular kepada manusia.

Ini boleh menyebabkan gejala dan tahap risiko berbeza menjadi masalah kesihatan awam di banyak negara, termasuk Malaysia.

"Daripada haiwan itu, manusia terdedah dengan pelbagai jenis mikrob yang merangkumi virus, bakteria, parasit, protozoa dan kulat yang dibawa oleh binatang terinfeksi. Ini dikenali sebagai penyakit zoonosis.

"Pada kebiasaannya, haiwan yang dijangkiti penyakit, turut sakit contohnya rabies (penyakit anjing gila); namun gejalanya adalah berbeza-beza. Ada haiwan yang terinfeksi, tidak sakit kerana sudah sebati, iaitu haiwan itu menjadi pembawa kuman, dan haiwan sebegini dianggap sebagai ‘reservoir’ penyakit itu.

"Di Malaysia, penyakit seperti influenza, rabies, leptospirosis (kencing tikus) dan malaria monyet di Sabah adalah antara penyakit  berasal daripada haiwan dan kemudian menjangkiti manusia. 

"Penyakit zoonosis ini bukan penemuan baharu. Masyarakat mungkin tidak mengetahui maklumat terperinci mengenainya atau mengetahuinya hanya sejenis penyakit bawaan daripada haiwan," katanya kepada BH, baru-baru ini. 

Katanya, hal ini menyebabkan kawalan dan pengurusan lingkungan serta risiko transmisi kadang kala tidak jelas dan kawalan tidak diikuti oleh masyarakat.

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan) di fakulti sama, berkata penyakit zoonotik kembali diperkatakan apabila berlaku epidemik, contoh seperti coronavirus serta menimbulkan banyak spekulasi haiwan yang menjadi punca penyakit. 

Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. - NSTP/Rohanis Shukri
Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. - NSTP/Rohanis Shukri

"Mengambil contoh, COVID-19 iaitu sejenis virus coronavirus, sejenis virus RNA dari kelawar dan ular namun sejauh mana kebenaran haiwan penyebab masih belum dapat disahkan.

Begitu juga dengan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) tahun 2012-2013 yang dijangkiti daripada unta, manakala Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) tahun 2002-2003 dijangkiti daripada musang (civet) adalah dari virus coronavirus juga. Kadar kematian akibat kedua-dua penyakit ini adalah lebih tinggi daripada COVID-19," katanya. 

Contoh lain seperti ebola di Afrika iaitu sejenis demam berdarah, boleh merebak dari monyet dan kelawar jika manusia memakan daging haiwan terinfeksi virus itu. 

"Penularan virus nipah pula, ia wabak yang melanda teruk di negara ini pada 1999, terjadi daripada kelawar dan keluang yang memakan buah.

“Buah yang jatuh dimakan khinzir sebelum virus dipindahkan kepada manusia. Transmisi langsung dari khinzir terinfeksi pula menjangkiti manusia dan boleh merebak secara langsung dari manusia ke manusia," katanya. 

Penyakit Nipah itu menyebabkan ensefelitis otak dan berupaya menyebabkan kematian. Akibatnya semua haiwan (khinzir) terjejas juga terpaksa dihapuskan secara besar-besaran suatu ketika dahulu.

Katanya, ada budaya di sesetengah negara memakan haiwan liar dan menjadi sumber makanan, ia sudah menjadi lumrah meskipun tidak digalakkan.

Selain boleh menyebabkan kepupusan haiwan terancam, ia juga boleh merebakkan penyakit. 

"Masyarakat tidak boleh mengambil ringan kerana jika penularan virus sudah tidak dapat dikawal, ia akan menjadi bebanan besar pada negara dan mengakibatkan korban nyawa.

Beban kepada penjagaan kesihatan terutama pada negara membangun adalah sangat besar dan membebankan. 

"Orang ramai digalakkan mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang, mengelakkan daripada memakan haiwan eksotik atau liar berikutan kumpulan itu mungkin mudah mendapat virus," katanya.

Katanya, pasar eksotik di Wuhan dan juga berlaku secara meluas di beberapa negara lain, contoh pengendalian hidupan liar dilakukan secara terbuka.

“Malah mengundang transmisi virus disebabkan lingkungan tidak bersih, makanan tidak dimasak dengan baik, dan memakan daging binatang terinfeksi penyakit," katanya.

Beliau berkata, bagi menangani COVID-19, masyarakat digalakkan memakai topeng muka sebagai perlindungan jika mempunyai gejala masalah pernafasan, kerap mencuci tangan, menutup muka ketika bersin, sakit tekak dan selesema dan menghindari tempat tumpuan ramai kerana cara itu mudah memindahkan kuman. 

"Di Jepun dan Cina, sekolah terpaksa ditutup untuk mengelakkan transmisi berlaku. Rakyat juga digalakkan melakukan kuarantin diri iaitu tidak keluar dan bercampur untuk mengurangkan transmisi," katanya. 

Perjalanan keluar negara harus dikurangkan dan jangan sewenangnya menerima pelawat dari luar.

Jika mempunyai sejarah keluar negara dan mempunyai simptom coronavirus seperti sukar bernafas, sesak nafas, sakit tekak, demam, batuk dan selsema, individu digalakkan mendapatkan nasihat doktor, menjarakkan diri (isolasi diri) dari orang lain seperti rakan atau keluarga.  

"Oleh kerana rawatan khas dan vaksin terhadap coronavirus masih belum ditemui, adalah penting untuk menjaga diri dari terinfeksi. Rawatan antiviral yang diguna sekarang adalah rawatan untuk merawat influenza dan HIV. 

"Bagi pesakit berisiko COVID-19, harus tampil membuat saringan kesihatan. Salah satu sebab virus ini mudah tersebar, ialah virus itu dijangka berupaya hidup beberapa jam hingga ke hari di permukaan yang terkontaminasi virus berkenaan, melainkan selepas dibersihkan dengan disinfektan yang sesuai" katanya. 

Data luar negara menunjukkan, jangkitan ini lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki dan perokok. Kadar kematian akibat virus ini pula lebih tinggi pada mereka yang berusia 60 tahun ke atas, mereka yang turut mempunyai komorbiditi kesihatan (seperti kencing manis, masalah buah pinggang, asma, kanser) dan sebagainya. 

"Tindakan mengurangkan kontek hubungan dengan haiwan liar, melarang memakan haiwan liar, menjaga lingkungan persekitaran, mengelakkan penebangan hutan berleluasa dan penjagaan kebersihan diri berupaya mengurangkan jangkitan zoonotik daripada berleluasa. 

"Undang-undang dan penguatkuasaan dalam negara masing-masing adalah sangat penting untuk memastikan kawalan ini dipatuhi," katanya. 

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X