Sabtu, 28 March 2020 | 1:36pm
Individu mempunyai gejala COVID-19 disarankan mengambil paracetamol. - Foto hiasan
Individu mempunyai gejala COVID-19 disarankan mengambil paracetamol. - Foto hiasan

COVID-19: Paracetamol lebih sesuai bagi individu bergejala

KUALA LUMPUR: Individu mempunyai gejala COVID-19 disarankan mengambil paracetamol berbanding ibuprofen, iaitu ubat anti radang bagi mengurangkan demam.

Ia kerana pengambilan paracetamol dikatakan mampu mengurangkan demam dalam kalangan individu mempunyai gejala COVID-19, tanpa memberi tindak balas terhadap radang.

Menteri Kesihatan Perancis, Olivier Veran dalam ciapannya di Twitter, minggu lalu menjelaskan pengambilan ubat anti radang boleh menjadi faktor memburukkan lagi kesan jangkitan COVID-19.

Beliau yang juga bekas doktor saraf menegaskan supaya pesakit yang sedang dirawat menggunakan ubat anti radang perlu mendapatkan nasihat daripada doktor masing-masing.

"Pengambilan ubat anti radang seperti ibuprofen dan cortisone boleh menjadi faktor memudaratkan jangkitan (COVID-19).

"Sebaliknya ambil paracetamol, jika demam," kata Oliver yang memulakan perdebatan mengenai penggunaan ibuprofen pada pesakit COVID-19.

Susulan itu, Kerajaan Perancis baru-baru ini, memberi amaran kepada orang ramai mengenai penggunaan ubat anti radang secara meluas dapat memburukkan lagi kesan jangkitan COVID-19.

Sementara itu, kumpulan pegawai kesihatan Perancis percaya bahawa ibuprofen dapat mengurangkan tindak balas imunisasi pesakit ketika melawan penyakit demam.

Kumpulan pegawai berkenaan turut mengesyorkan pesakit supaya merawat diri sendiri menggunakan paracetamol di kediaman masing-masing.

"Ia (paracetamol) akan mengurangkan demam tanpa tindak balas terhadap radang," kata kumpulan berkenaan seperti dilaporkan The Guardian.

Bagi Profesor Madya Louis Irving dari Hospital Royal Melbourne turut menjelaskan ubat anti radang bukan steroid (NSAIDs) seperti ibuprofen boleh memberi tindak balas lebih teruk terhadap jangkitan radang.

"Justeru, penggunaan paracetamol adalah lebih disarankan, jika anda (pesakit) memerlukan ubat untuk merawat demam," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X