Sabtu, 4 April 2020 | 12:21pm

Gangguan mental bukan 'sakit otak'

STIGMA dan diskriminasi terhadap individu yang mempunyai gangguan mental dengan melabelkannya sebagai gila atau 'sakit otak' menyebabkan golongan itu malu untuk mendapatkan rawatan.

Tekanan yang sedia dihadapi ditambah dengan tekanan daripada masyarakat sekeliling menyebabkan golongan berkenaan hanya memendam perasaan, menyebabkan kemurungan dan kebimbangan berterusan sehingga mendatangkan kemudaratan jika hilang kawalan.

Pakar psikologi antarabangsa, Dr Anjhula Mya Singh Bais, berkata stigma berkenaan sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat dan mengakui ia sukar untuk diubah.

"Apabila anda bertemu ahli psikologi, ia tidak bermakna anda gila. Saya lebih menghormati mereka yang mendapatkan bantuan pakar ini kerana mereka mempunyai kesedaran sendiri.

"Jika ada masalah, mereka mahu belajar cara untuk berfikir dengan lebih baik dan menyelesaikannya.

“Bagi saya, kadangkala, orang yang mengatakan mereka tidak ada masalah mental adalah yang paling memerlukannya," katanya dalam temubual bersama BH baru-baru ini.

Seorang daripada empat hadapi gangguan mental

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada empat individu mengalami gangguan mental biasa seperti seperti kemurungan dan cemas, setiap tahun.

Selain itu, dua daripada 100 orang dalam masyarakat mengalami gangguan bipolar dalam hidup mereka.

Dr Anjhula menjelaskan, masalah kemurungan dan cemas lebih banyak dihadapi wanita berbanding lelaki, kerana wanita kurang menunjukkan perasaan mereka seperti rasa marah.

Katanya, individu yang merasakan mereka mempunyai gangguan mental boleh bertanya dengan orang di sekeliling sama ada terdapat apa-apa perubahan sikap dirinya seperti bersikap lebih panas baran, gemar mengasingkan diri atau tidak boleh fokus kepada sesuatu tugas.

"Kadangkala, orang lain lebih menyedari perubahan dalam diri kita berbanding diri sendiri. Jika mereka dapat mengesan tanda ini, mereka boleh mendapatkan rawatan lebih awal," katanya.

Dapatkan nasihat ahli psikologi

Dr Anjhula juga menggesa mereka yang berdepan masalah mental supaya tidak malu dan segera mendapatkan nasihat daripada pakar psikologi yang bertauliah, yang khusus dalam bidang masing-masing.

"Ada yang bertanya, kenapa kita tidak menceritakan masalah kepada keluarga dan rakan, serta mendapatkan nasihat mereka? Jawapan saya, mereka berat sebelah dan bukan dilatih secara profesional.

"Dapatkan nasihat daripada ahli psikologi yang pakar dalam masalah anda. Tidak salah jika anda mahu lihat bukti kelulusan mereka kerana itu hak anda sebagai pelanggan," katanya.

Berita Harian X