Jumaat, 18 Ogos 2017 | 3:07pm
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan operasi memusnahkan sarang tebuan di enam kampung sekitar Kuala Besut, Besut, Terengganu, malam tadi. - Foto Mohamad Ishak
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan operasi memusnahkan sarang tebuan di enam kampung sekitar Kuala Besut, Besut, Terengganu, malam tadi. - Foto Mohamad Ishak

Aduan berkaitan sarang tebuan meningkat

JERTIH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memusnahkan sarang tebuan di enam kampung di Kuala Besut di sini, selepas menerima aduan daripada penduduk, malam tadi.

Kes kanak-kanak maut disengat tebuan di daerah Besut sejak kebelakangan ini mendorong orang ramai lebih prihatin dan melaporkan kewujudan sarang serangga berbahaya itu kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, semalam menerima enam aduan daripada penduduk yang melaporkan sarang tebuan aktif di enam kampung di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, berkata ia membabitkan Kampung Pengkalan Atap; Kampung Tok Saboh; Kampung Lampu; Kampung Gong Tengah dan Kampung Beris Pak Abu.

Beliau berkata, berikutan kebimbangan penduduk itu pihaknya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu memusnahkan sarang tebuan yang mendatangkan bahaya kepada penduduk.

"Operasi selama lima jam bermula jam 9 malam tadi diketuai Pegawai APM, Lt (PA) Razali Mohamad, memusnahkan sarang tebuan di enam lokasi itu.

"Pihak APM dengan enam anggota menggunakan 'sky lift' kerana semua sarang berkenaan berada di tempat tinggi termasuk di atas pokok dan rumah.

"Kita amat berpuas hati dengan operasi yang dijalankan dan akan meneruskan operasi ini bagi memastikan tragedi malang akibat disengat tebuan tidak berulang," katanya.

Beliau berkata, operasi itu terpaksa dilakukan pada waktu malam atas beberapa faktor seperti tebuan tidak aktif dan keselamatan penduduk yang berada di dalam rumah.

"Anggota APM memakai pakaian khas, peralatan memadam kebakaran dan memaklumkan terlebih dahulu kepada penduduk bagi memastikan keselamatan mereka," katanya.

Semalam, seorang kanak-kanak dua tahun, Puteri Nur Aisyah Azahar, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, selepas disengat tebuan di rumahnya di Kampung Lay Out Tok Has, Besut.

Ia adalah kejadian kedua di daerah ini dan ketiga di negeri ini dalam tempoh dua minggu.

Pada 4 Ogos lalu, BH melaporkan seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Benting Lintang, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, maut disengat lebih 60 tebuan dan empat hari kemudian, seorang lagi kanak-kanak tiga tahun, Iffriah Darwisha Abdul Wahab Al Hadi maut akibat kejadian sama di Dungun.

Berita Harian X