Sabtu, 13 Oktober 2018 | 12:55pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) turut menyertai acara berjalan kaki bersama peserta ketika Program Hari Sukan Negara 2018 Peringkat PDRM Johor di Puteri Harbour, Iskandar Puteri. - Foto Hairul Anuar Rahim
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) turut menyertai acara berjalan kaki bersama peserta ketika Program Hari Sukan Negara 2018 Peringkat PDRM Johor di Puteri Harbour, Iskandar Puteri. - Foto Hairul Anuar Rahim

Polis nafi unsur sabotaj dalam usaha jejak Jho Low

ISKANDAR PUTERI: Polis menafikan terdapat unsur sabotaj dalam gerakan memburu Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, buat masa ini, walaupun tiada maklumat tepat lokasi sebenar ahli perniagaan itu berada, usaha mengesannya masih giat dijalankan.

“Saya tidak pasti siapa yang sabotaj. Setahu saya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terbabit dalam perkara ini (sabotaj).

“Kita pun sedang mengesan dia (Jho Low) dan bapanya termasuk meminta bantuan daripada INTERPOL banyak kali walaupun terdapat masalah teknikal pada peringkat awal,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya juga berhubung terus dengan pihak INTERPOL untuk membantu mengesan dua beranak itu.

“Yang terdekat kita dapat tahu dia ada di Hong Kong, tetapi bila kita hantar pasukan, dia menyelinap masuk ke Macau dan dari Macau kita tidak tahu lagi dia ke mana.

“Oleh itu, kita sedang berhubung dengan rakan-rakan kita untuk mengesan Jho Low dan bapanya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Hari Sukan Negara PDRM di Puteri Harbour Marina di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan bahawa tindakan sabotaj di dalam kerajaan adalah antara sebab Malaysia sukar mengenal pasti dengan tepat dan seterusnya memberkas ahli perniagaan berkenaan.

Jho Low menjadi perhatian dunia kerana dikaitkan dengan skandal 1MDB, menyebabkan dia masih diburu pihak berkuasa di negara ini.

Sehingga kini beberapa tindakan diambil untuk menjejakinya seperti membatalkan pasport antarabangsa milik ahli perniagaan itu oleh Jabatan Imigresen.

Berita Harian X