Khamis, 22 Ogos 2019 | 7:26pm
Pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik kelihatan keluar daripada kereta jenis Toyota Innova sebelum memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam. - Foto BERNAMA

Polis rakam percakapan Dr Zakir, Dong Zong

KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik dan Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim serta setiausaha persatuan itu, Ng Chai Heng, di Bukit Aman hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed Zakir, dalam satu kenyataan, mengesahkan pihaknya mengambil keterangan mereka di Bukit Aman hari ini.

“Pengerusi dan Setiausaha Persatuan Dong Zong dipanggil untuk dirakam percakapan mereka berhubung beberapa laporan polis yang dibuat terhadap persatuan terbabit.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam),” katanya.

Huzir berkata Dr Zakir pula hadir untuk dirakam percakapan atas pengaduan yang dibuat oleh beliau terhadap beberapa ahli politik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kerana memfitnah),” katanya.

Dr Zakir, diiringi peguamnya, Datuk Akhberdin Abd Kadir, tiba di Bukit Aman kira-kira jam 3.38 petang tadi dan dilihat meninggalkan ibu pejabat polis itu pada jam 7.30 malam.

Sebelum ini, polis merakamkan kenyataan pendakwah bebas itu dua kali iaitu pada Jumaat dan Isnin lalu.

Ia susulan laporan yang diterima mendakwa Dr Zakir membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia dalam ceramahnya di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu.

Berita Harian X