Selasa, 17 September 2019 | 10:04pm

Jabatan Imigresen Malaysia sahkan pegawai ditahan polis

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan penahanan seorang pegawainya disyaki terbabit kegiatan pemalsuan cap keselamatan imigresen, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata susulan itu, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.

“Pegawai itu ditangkap kerana disyaki terbabit kegiatan pemalsuan cap keselamatan imigresen.

“Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan penahanan pegawai terbabit dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi mahupun melindungi mana-mana pegawai yang tidak berintegriti dan terbabit kegiatan melanggar undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada jika pegawai berkenaan terbukti bersalah,” katanya.

BH Online hari ini melaporkan seorang pegawai imigresen berusia 40 tahun ditahan bersama seorang wanita selepas polis menemui sejumlah pasport asing, pelekat dan cap milik Jabatan Imigresen Malaysia dalam sebuah kereta di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Kedua-duanya diberkas selepas sepasukan anggota polis peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan di situ, menahan sebuah kereta dipandu seorang wanita dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Anggota polis yang menjalankan pemeriksaan kemudian menemui tiga pasport asing, iaitu dua pasport China dan satu pasport Indonesia, sekeping kad pengenalan merah serta sejumlah wang tunai di dalam kenderaan itu.

Polis turut menemui lebih 100 keping pelekat bertulis Jabatan Imigresen Malaysia dan pelbagai cap jabatan itu untuk urusan keluar masuk negara ini.

Berita Harian X