Selasa, 8 Oktober 2019 | 4:34pm
Laporan dalam BH Online hari ini.

Kor Ming gesa polis siasat FB 'Najib Razak'

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming menggesa polis menyiasat akaun Facebook, ‘Najib Razak’ yang bertanggungjawab memuat naik hantaran berbaur fitnah ke atasnya.

Katanya, hantaran berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan yang dimuat naik dalam akaun Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans’ itu adalah satu fitnah.

“Saya gesa Bukit Aman siasat Najib Razak Page (akaun Facebook Najib Razak) yang didapati memuat naik berita palsu untuk cuba melakukan fitnah jenayah.

“Saya yakin kebenaran dan keadilan akan ditegakkan,” katanya kepada pemberita sebaik selesai memberi keterangan di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sini, hari ini.

Katanya, kehadirannya ke Bukit Aman hari ini adalah sebagai saksi, dan beliau juga sudah menyerahkan beberapa bukti yang berkaitan.

“Sebagai warga negara yang patuh dengan undang-undang, saya datang untuk membantu pihak polis dalam siasatan mereka.

“Saya datang sebagai saksi dan saya sudah serahkan bukti untuk membantu siasatan mereka,” jelasnya.

Terdahulu, Kor Ming yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tiba di Bukit Aman untuk dirakam keterangan dengan ditemani peguam, Ramkarpal Singh kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Beliau dipanggil ke Bukit Aman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan susulan satu laporan polis yang dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam, pada 1 Oktober lalu.

Laporan polis itu susulan viral satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor, tular di media sosial, pada 29 September lalu.

Hantaran itu kemudian didakwa dimuat naik di Facebook ‘Najib Razak’ oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri pada 30 September lalu.

Kor Ming menganggap tindakan Najib yang menggunakan hantaran akaun palsu itu didakwa cuba merosakkan namanya dan menghasut rakyat membencinya serta parti.

Beliau sebelum ini turut mendakwa tiada kaitan dengan hantaran berkenaan dan mendakwa akaun Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page itu adalah akaun palsu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi BH, mengesahkan kehadiran Kor Ming ke Bukit Aman, hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Keterangan Kor Ming selesai dirakam oleh dua pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, kira-kira jam 3 petang tadi.

Berita Harian X