Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:38pm
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui di Tasik Paya Bungor. - Foto BERNAMA

Kematian mekanik disyaki dibunuh rakan sendiri

KUANTAN: Seorang lelaki berumur 23 tahun ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan mekanik di Tasik Paya Bungor, Gambang di sini, kelmarin.

Ketua Polis Pahang Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, lelaki yang dipercayai suspek pembunuhan itu ditahan di sekitar daerah ini selepas mayat mangsa ditemui.

Katanya, dalam kes terbabit, pihaknya percaya suspek adalah rakan kepada mangsa dan penahanan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Bagaimanapun, motif pembunuhan masih lagi disiasat dan kita percaya mangsa dibunuh di kawasan lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tasik itu.

“Kita juga masih menunggu laporan kimia bagi mengetahui punca sebenar kematian lelaki terbabit dan dijangka diketahui dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Jalinan Kasih Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Norazrin Marzuki.

Ahad lalu, mayat seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di kawasan tasik dipercayai sudah dua hari meninggal dunia.

Mangsa turut ditemui dalam keadaan tangan, kaki terikat dan terdapat kesan jenayah pada fizikal mangsa.

Abd Jalil juga tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang suspek terbabit dalam kejadian itu.

“Suspek ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Berita Harian X