Ahad, 10 November 2019 | 11:07pm
Seorang lelaki berjalan tanpa pakaian di Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur kerana dikatakan mengambil minuman keras secara berlebihan akibat tekanan perasaan. - Foto ihsan pembaca

Mabuk sampai tak sedar berbogel di jalan

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dilihat berjalan tanpa pakaian di Jalan Kinabalu di sini, petang tadi kerana dikatakan mengambil minuman keras secara berlebihan akibat tekanan perasaan.

Dalam kejadian pada jam 5.27 petang, lelaki berusia 30-an berjalan berseorangan di hadapan bangunan Daya Bumi sebelum orang awam memaklumkan kejadian kepada polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah, berkata sebuah kereta peronda dan anggota unit rondaan bermotosikal (URB) diarahkan ke lokasi kejadian.

Anggota polis memujuk lelaki berkenaan masuk ke kereta peronda dan dia tidak melawan.

“Siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak sedar dia berbogel di khalayak ramai kerana minum minuman keras berlebihan,” katanya sambil menambah pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan juga tiada masalah mental.

“Memandangkan lelaki itu tidak berpakaian, anggota polis membelikan pakaian di kedai pakaian terpakai. Dia juga diberikan sedikit wang saku untuk dijadikan tambang balik ke rumahnya di Brickfields,” katanya.

Berita Harian X