Isnin, 11 November 2019 | 10:29am
ANGGOTA penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah menyoal pasangan yang dicekup berkhalwat di sebuah hotel dalam Ops Bersepadu. NSTP/Ihsan JAIK

Ditahan ketika sedang asyik lepas rindu

SUNGAI PETANI: Hanya kerana mahu melepas rindu, sepasang kekasih bertindak menyewa sebuah bilik hotel sebelum dicekup berkhalwat dalam operasi mencegah maksiat Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), di sini malam tadi.

Pasangan kekasih itu yang berusia lingkungan 30-an masing-masing bekerja sebagai penjawat awam dan pengawal keselamatan ditahan dalam operasi kira-kira jam 12 tengah malam.

Difahamkan, wanita itu ditemui hanya berselimut di atas katil, manakala pasangannya hanya berseluar tanpa baju ketika serbuan dilakukan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul

Mutalib, berkata operasi tertumpu di sekitar kawasan yang disyaki menjadi tumpuan pasangan melakukan maksiat.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan dua saman mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

“Dalam operasi ini juga, kita menahan sembilan pasangan dalam pemeriksaan di beberapa hotel bajet di daerah ini.

“Kesemua yang ditahan berusia 20-an hingga 40-an,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Radzi berkata, dalam pada itu, seorang lelaki dicekup berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam di sebuah hotel yang diperiksa.

Beliau berkata, operasi disertai seramai 36 anggota termasuk dari JAIK, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM), Pejabat Agama Daerah Yan (PADY) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua pasangan yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri yang menimbulkan syak mereka melakukan maksiat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Radzi berkata, pihaknya menerima banyak aduan awam berhubung kegiatan maksiat di daerah berkenaan menyebabkan operasi itu perlu dilakukan.

Berita Harian X